Cara mengelak fitnah media baru

HARAKAHDAILY | .

Maklumat yang hendak diterima mestilah mempunyai sumber yang sahih iaitu daripada Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias khususnya dalam isu-isu keagamaan.

Sumber yang sahih tersebut hendaklah diambil daripada orang yang layak iaitu para ulama dan difahami dengan kaedah yang sahih khususnya isu-isu politik Islam.

Pastikan mengambil dan menerima maklumat daripada sumber yang telah terbukti benar dan berfakta dan disebar untuk kebaikan dan kebenaran.

Jangan percaya dan menerima maklumat yang tidak ada sebarang sandaran sumber yang benar dan tidak berfakta. Atau berfakta tetapi lebih cenderung untuk menyebar dan menabur fitnah.

Jangan menerima dan mengambil apatah lagi percaya kepada maklumat yang diambil daripada sumber yang tidak betul atau difahami dengan cara yang tidak sahih tanpa merujuk kepada asal sumber. Contoh satu-satu tulisan atau ucapan hendaklah dirujuk kepada penulis atau pemberi ucapan apakah maksud sebenar perkara berkenaan.

Jangan sesekali menerima dan menyebar tulisan-tulisan yang tidak ada nama penulis atau menggunakan nama samaran atau gelaran yang tidak jelas. Mereka ini sebenarnya tidak bertanggungjawab atas penulisan mereka apatah lagi tulisan yang sedia berbaur fitnah.

Jangan percaya dan menerima keratan-keratan video pendek tanpa merujuk kepada keseluruhan atau merujuk kepada orang yang berucap apatah lagi video itu diulas pula dengan niat memburuk atau menyebar fitnah.

Jangan sesekali menerima maklumat daripada orang-orang atau sumber berita yang selama ini memang sudah terkenal dengan kerja menabur fitnah dan mengadu domba.

Ingat dan takutlah peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Fitnah itu sedang tidur, Allah melaknat orang yang membangkitkannya".

Semoga kita semua terselamat daripada fitnah dan menjauhi daripada memfitnah.

Al Faqir Nik Bakri Nik Mat
Lajnah Tarbiyah DUPNS - HARAKAHDAILY 14/7/2016

Share on Myspace