Apakah ada jalan keluar? (Bahagian 2)

HARAKAHDAILY | .

Besok 15 Julai 2016, LPT2 akan mula dikenakan bayaran tol. Satu lagi mekanisme untuk mengambil duit daripada rakyat tanpa segan pilu, sepertimana GST.

Sejurus pengumuman bahawa tol akan dikuatkuasa di LPT2 dibuat, ramai yang mengeluh, di kedai kopi, di sosial media dan mengeluarkan kenyataan mencemuh tindakan kerajaan dengan pelbagai alasan.

Apakah keluhan dan kenyataan mengkritik dapat menghindarkan rakyat daripada membayar tol? Sudah tentu tidak. Tiba waktunya nanti, rakyat yang mampu mahupun tidak mampu tetap perlu membayar tol di LPT2.

Kemelut yang melanda negara adalah kesan langsung bilamana sistem negara tidak diurus dengan sistem yang diturunkan oleh Pencipta manusia Allah Azza wa Jalla.

Hari ini, ekonomi kapitalis yang dipaksakan ke atas negara demi menjaga kepentingan golongan pemodal telah melahirkan jurang yang besar antara golongan kaya dan miskin. Akibatnya, harta hanya berlegar di kalangan golongan kaya dan berkuasa sehingga golongan ini dapat menjual beli kuasa hari ini sehingga memincangkan sistem demokrasi yang ada.

Demikian juga sistem perundangan yang digubal di Barat telah dipaksa ke atas negara selepas era penjajahan sehingga kini.

Persoalannya apakah ada jalan keluar dari kemelut yang ada?

Sebagaimana isu tol, jikalau kita ingin melihat adanya satu hari rakyat bebas daripada kisah duka membayar tol, maka haruslah kita melakukan perkara yang menjurus ke arah itu, dan bukan sebaliknya.

Antara arahnya ialah menukar sistem kerajaan yang sedia ada. Jika tidak, maka bolehlah kita terus sekadar mengeluh melihat rakyat menderita membayar tol dari generasi ke generasi.

Islam menitikberatkan keadilan. Keadilan dan keharmonian adalah ketetapan Allah bagi ciptaan-Nya.

Allah berfirman dalam Al-Quran (maksudny): "Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang menegakan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap satu kaum, mendorong untuk kamu berbuat tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan". (Al-Maidah [5] : 8)

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pengajaran".( QS An-Nahl [16]: 90)

Oleh sebab itu, bagi PAS, dasar Islam adalah jalan keluar kepada kemelut yang ada.

Menukar pimpinan bahkan parti pemerintah, belum lagi boleh menjamin kemungkaran tidak berlaku.

Umpamanya, di banyak negara, ukuran jenayah hanya dilihat kepada indeks jenayah yang dilaporkan. Ukuran ini tentunya tidak menepati kehendak syarak, tiada kes rogol bukan bermakna tiadanya kes zina, bilamana lesen rumah pelacuran dibenarkan berleluasa. Begitu juga tiadanya laporan perjudian haram bukan bermakna tiadanya perjudian apabila lesen perjudian dikeluarkan bagi 'menghalalkan' kemungkaran tersebut di atas bukit.

Itulah tujuan utama PAS menuntut perubahan sistem kepada sistem Islam yang berlandaskan syariat dan juga menjunjung nilai keadilan pada tempatnya.

Kejayaan PAS menjalankan mengurus tadbir kerajaan Kelantan selama 26 tahun, walaupun dikekang melalui pelbagai sudut terutamanya kewangan dan hak royalti minyak yang dinafikan, dan keharmoniannya, boleh dijadikan ukuran bagi membuang ketakutan masyarakat bukan Islam khususnya terhadap gagasan yang PAS kemukakan.

Tiada kes larangan kepada bukan Islam untuk mengamalkan ajaran agama, budaya dan adat resam mereka. Mereka hidup dengan aman walaupun Kelantan mengangkat slogan "Membangun Bersama Islam" serta mengisytiharkan Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam.

Tidak dinafikan masih banyak ruang untuk diperbaiki, tapi secara umumnya Kelantan diurus dengan baik. Dan perkara ini disahkan Ketua Audit Negara yang telah memberikan penarafan 5 bintang bagi kategori Akauntabiliti Kewangan bagi tahun 2015 kepada 13 daripada 18 jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Kelantan.

13 jabatan serta agensi terbabit ialah Pejabat Menteri Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan, Jabatan Pembangunan Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Air Negeri Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat , Majlis Daerah Pasir Putih, Majlis Daerah Machang, Majlis Daerah Kuala Krai, Majlis Daerah Tanah Merah, Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang, Pejabat Tanah Jajahan Bachok, Pejabat Tanah Jajahan Pasir Putih dan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

Selain mendapat penarafan 5 Bintang, iaitu penarafan tertinggi, kerajaan negeri juga turut menerima Sijil Audit Bersih Penyata Kewangan Kerajaan Negeri seperti tahun-tahun sebelumnya.

PAS bangga dengan pencapaian cemerlang pengurusan kewangan Kerajaan Negeri Kelantan.

Bahkan sebagaimana yang dipertegaskan oleh Presiden PAS, sehingga hari ini tiada pimpinan PAS ditahan dalam kes rasuah sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan, Terengganu dan Perak dan kepimpinan exco PAS di Selangor berbanding parti-parti lain.

Hari ini terlalu banyak harapan diletakkan di bahu pembangkang. Andainya pembangkang gagal atas pelbagai faktor, apakah sudah tiada jalan keluar dari kemelut yang ada?

Sebenarnya tidak, tapi ia tidaklah mudah.

Melihat kepada pendedahan-pendedahan dalaman mengenai skandal 1MDB, tidak mustahil perubahan dapat berlaku dari dalam kerajaan dengan tuntutan, desakan dan pendedahan berterusan agar pentadbiran yang bersih dan amanah berlandaskan Islam dipraktikkan.

Jika adil adalah sifat dan sikap Fadlilah (utama) maka sebagai kebalikannya adalah sikap zalim. Zalim bererti menganiaya, tidak adil dalam memutuskan perkara, berat sebelah dalam tindakan, mengambil hak orang lain lebih dari batasnya atau memberikan hak orang lain kurang dari semestinya.

Manusia, terutamanya pemimpin yang mengejar dunia perlu diingatkan bahawa adanya akhirat selepas mati, dan setiap tindakan mereka ada hisabannya di akhirat. Malaysia perlu diurus oleh tangan-tangan yang takutkan Allah dan hisaban di akhirat, dan bukannya nyawa politik sendiri, agar rasuah dan salahguna kuasa dapat dibendung dan diminimumkan.

Andainya Malaysia dapat diurus oleh mereka yang menjunjung nilai keadilan yang dituntut Islam, sudah pasti kekayaan negara dapat diagih secara adil kepada rakyat dan keadilan sosioekonomi boleh dicapai.

Sebab itulah, PAS tetap percaya bahawa Islam adalah jalan keluar daripada kemelut ini. Keindahan Islam bukan hanya teori di atas kertas, keindahannya bila Islam dipraktikkan. PAS akan menentang sesiapa yang berlaku zalim dan mengambil daripada rakyat tanpa mengira umur dan tahap kemiskinan menggunakan pelbagai idea yang bertentangan dengan syariat Islam.

PAS yakin bahawa hanya Islam dapat menjamin keadilan sejagat, keharmonian negara dan memperkasakan perpaduan antara rakyat berbilang kaum seperti yang ada di Malaysia, sesungguhnya Islam itu adil dan damai.

PAS rugi, jika istiqamah mendaulatkan Islam ini terhenti. Selagi istiqamah ini berterusan, PAS tidak akan rugi termasuklah dalam kerjasama politik.  Kita berjuang kerana Islam dan untuk Islam. Inilah nilai perjuangan Islam yang menjadi pegangan kita. Inilah erti berjuang kerana Allah. yang membezakan PAS daripada parti-parti yang lain.

Seperti yang disebut di artikel yang lepas, perbezaan ini perlu dihormati dan tidak perlu menjadi titik pertikaian. Sejarah membuktikan bahawa PAS rela bersendirian bilamana dasar PAS dipertikai dan ditentang oleh rakan tahaluf.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
14 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 14/7/2016

Share on Myspace