PAS serah memorandum kepada Suruhanjaya Reid

HARAKAHDAILY | .

PAS SERAH MEMORANDUM KEPADA SURUHANJAYA REID (14 JULAI 1956)

PADA hari ini dalam tahun 1956, PAS telah menyerahkan satu memorandum 14 perkara tentang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) merdeka kepada Suruhanjaya Perlembagaan yang diketuai Lord Reid. Memorandum ini bertujuan untuk menyatakan pandangan PAS tentang ciri-ciri negara PTM yang bakal merdeka.

Pada 24 Januari 1956, akhbar Straits Time melaporkan bahawa Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah mengumumkan persetujuan untuk menubuhkan Suruhanjaya Perlembagaan sebagai persiapan ke arah kemerdekaan setelah 31 Ogos 1957 ditetapkan sebagai tarikh kemerdekaan PTM.

Suruhanjaya Perlembagaan ini telah ditubuhkan British dengan dianggotai oleh Lord William Reid (Ketua dari Britain), Sir Ivor Jennings (Britain), Sir William McKell (Australia), Hakim B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan).

Suruhanjaya yang lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid ini telah menerima 131 memorandum dari pelbagai pihak, dan bermesyuarat sebanyak 118 kali untuk merumuskan Perlembagaan PTM merdeka. PAS sendiri telah menyerahkan pandangan mereka kepada Suruhanjaya Reid pada 14 Julai 1956 setelah mendapatkan pandangan ahli-ahli PAS di semua peringkat.

Pada 7 Mac 1957, bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Azzam Hanafiah telah mencadangkan supaya PAS mengambil pendirian sama ada menyokong atau menentang suruhanjaya ini dan mahu pandangan semua pihak dalam PAS diambil kira.

Pada 1 Mei 1956, PAS telah meminta semua peringkat organisasinya supaya memberi cadangan kepada Pejabat Agung PAS bagi maksud tersebut, berasaskan enam asas iaitu corak kerakyatan, bentuk kerajaan, susunan perlembagaan, eksekutif dan legislatif, kedududukan sultan-sultan, memelihara kedudukan orang Melayu, kepentingan minoriti dan kedudukan agama Islam. PAS turut mengadakan pertemuan antara Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri untuk membincangkan tugasan Suruhanjaya Reid dan perkara yang perlu diangkat kepada mereka.

Pada 30 Jun 1956, Jawatankuasa Politik PAS telah mengangkat rumusan-rumusan penting tentang cadangan ini kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS sebelum ia diluluskan pada 1 Julai 1956.

PAS Pusat turut memberi kuasa kepada Jawatankuasa Politik PAS untuk membuat pindaan terakhir sebelum ia diserahkan. PAS telah melantik Prof Zulkifli Mohamad dan Mohd Asri Haji Muda bersama dua yang lain (akan dilantik oleh Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin ak-Helmy) untuk bertemu Suruhanjaya Reid bagi menyampaikan pandangan PAS. Mereka kemudiannya menyerahkan pandangan tersebut pada 14 Julai 1956.

Memorandum 14 Perkara ini telah menegaskan pandangan PAS iaitu:

I. Negara ini terbukti oleh sejarah dan diakui oleh undang-undang adalah negara Melayu yang dimiliki bangsa Melayu;
II. Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan mutlak di negara ini;
III. Kebangsaan negara ini mestilah Melayu;
IV. Islam menjadi agama rasmi dan berasaskan kebudayaan Melayu;
V. Kerakyatan jus soli adalah ditolak;
VI. Mereka yang cukup syarat berdomisil boleh memohon kerakyatan;
VII. Perlu ditubuhkan kerajaan berbentuk persekutuan dengan dua dewan perundangan;
VIII. Parlimen mesti tunduk kepada Raja-raja Melayu dengan Yang di-Pertuan Besar Persekutuan sebagai pengerusi
IX. Tidak bersetuju Pulau Pinang dan Melaka diletakkan di bawah Baginda Queen, tetapi ia mesti dikembalikan sebagai negeri Melayu semula.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
14 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 14/7/2016

Share on Myspace