Persefahaman elak tembung tiga penjuru

ASLANI M | .

KOTA BHARU: PAS mempertahankan prinsip bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan memberi kebaikan kepada rakyat.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, parti itu hanya tidak terlibat dengan kerjasama yang boleh mengundang kepada dosa.

“Pimpinan tertinggi tentunya sudah memperhalusi cadangan untuk bekerjasama memandangkan Lajnah Politik bermesyuarat setiap minggu,” katanya sebagai reaksi terhadap usaha PAS mengurangkan pertelagahan sesama pembangkang.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap pertelagahan sesama pembangkang dapat ditamatkan demi rakyat dan masa depan negara.

Menurutnya parti-parti pembangkang perlu melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi memberi fokus kepada musuh sebenar iaitu Umno BN.

Ekoran kenyataan itu banyak pihak menyambut baik termasuk Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berharap pembangkang harus bersatu kembali.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia Ahmad Fadhli Shaari pula berkata pendirian mengenai kerjasama itu jelas kerana PAS sudah mengurangkan kritikan terhadap sesama sendiri.

“Saya percaya menjelang pilihan raya umum akan datang keadaan akan kembali normal dengan kerjasama sesama pembangkang bagi menghadapi Umno dan BN.

“Persefahaman bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini,” katanya. - HARAKAHDAILY 14/7/2016

Share on Myspace