Pawagam: Pemuda PAS Kelantan tidak kompromi

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang merancang membuka semula pawagan di negeri ini bagi mengelakkan subur gejala sosial.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata cadangan membuka pawagan tidak sesuai dengan imej Kelantan sebagai gedung ilmu.

“Kami ingin menegaskan Kelantan harus kekal dengan keadaan sekarang tanpa memerlukan sebuah pawagan untuk golongan muda.

“Dikhuatiri kewujudan pawagan boleh mengundang pelbagai masalah dan kebejatan sosial semakin buruk,” katanya pada sidang media selepas menyerah memorandum membantah cadangan membuka pawagan di pasar raya tertentu di negeri ini.

Memorandum itu diserah kepada Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Nor Azariza Mohd Alawi dan anggota jawatankuasanya.

Sebelum ini ada pasar raya menyediakan ruang khas bagi mewujudkan pawagan dan hanya menunggu kelulusan kerajaan negeri. Ruang itu termasuk di kompleks membeli belah KB Mall.

Pawagan yang pernah beroperasi di Kelantan ditutup pada 1990-an selepas gagal mengikuti garis panduan di bawah Enakmen Kawalan Hiburan 1998.

Ahmad Fadhli berkata kewujudan pawagan dibimbangi menggugat status quo pentadbiran negeri di bawah acuan Membangun Bersama Islam.

Sementara itu Menteri Besar berkata, pihaknya sehingga sekarang belum menerima apa-apa permohonan bagi mewujudkan pawagan di Kelantan.

Katanya juga kemungkinan ada permohonan dikemukakan kepada Jawatakuasa Kerajaan Tempatan, namun ia belum dibawa kepada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Sebenarnya banyak syarat yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh mewujudkan suasana romantik kalangan penonton. Ada baiknya tidak payah ada pawagan.

“Bagaimanapun kerajaan negeri perlu memikirkan kaedah lain termasuk mengadakan tayangan percuma kepada orang ramai,” katanya. - HARAKAHDAILY 14/7/2016

Share on Myspace