Taman Ilmu: Umno Terengganu sia-sia duit rakyat

USTAZ MOHD NOR HAMZAH | .

Belum habis lagi isu kutipan tol di LPT2 yang telah menggunakan wang rakyat sebanyak RM1.8 bilion, Umno Terengganu terus membuat onar, dan kali ini dijangka sejumlah RM350 juta pula, duit rakyat Terengganu akan dibuang akibat terbengkalainya projek Taman Ilmu di Kota Putera, Besut.

Taman yang hanya siap kira-kira 80-90 peratus sahaja itu, telah tertangguh pembinaannya semenjak 2012 lagi kerana masalah pembayaran oleh kerajaan negeri kepada kontraktor. Umno Terengganu tanpa rasa bertanggungjawab terus menerus membuang duit rakyat Terengganu secara sia-sia bagaikan wang itu pusaka tinggalan keluarga mereka.

Menurut MB, YAB Encik Ahmad Razif Abdul Rahman, pada Mei 2015 yang lalu, kerajaan negeri menjangkakan Taman Ilmu yang dibina di atas tanah seluas 700 ekar itu akan boleh digunakan pada akhir tahun 2015.

YAB Razif yang juga Exco Pendidikan ketika tahun 2012 berkata, kerajaan negeri dijangkakan akan memperolehi keuntungan sebanyak RM10 juta setahun apabila Taman Ilmu itu beroperasi nanti apabila sebanyak enam buah universiti telah menunjukkan minat untuk membuka kampus cawangan mereka di situ.

Ketika Datuk Seri Ahmad Said menjadi MB, beliau juga memberi jaminan untuk tidak membiarkan Taman Ilmu menjadi projek gajah putih dan akan menyerahkan baki pembinaan kepada syarikat daripada Korea.

Beliau memberi jangkaan Taman Ilmu akan beroperasi pada akhir tahun 2013 dengan sebuah institusi pengajian berserta beberapa lagi institusi akan melabur sebanyak RM100 juta bagi menubuhkan sebuah kolej kejururawatan.

Saya sudah beberapa kali mengemukakan soalan berkaitan status Taman Ilmu ini dalam sidang Dun Terengganu dan terakhir pada Mac 2016 yang lalu, tetapi ditolak. Ia bagaikan ada rahsia yang mahu disembunyikan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga telah menyerah ratusan ekar tanah di Bukit Kor, Marang untuk pembangunan pusat pendidikan tinggi, tetapi sehingga sekarang, kelihatan sebahagian besarnya walaupun ada satu dua pusat pengajian yang telah diwujudkan, tetapi sebahagian besar kawasan itu masih dilitupi oleh hutan. Ini juga menimbulkan satu lagi persoalan, kenapa tidak dibangunkan kawasan yang telah sedia ada, tetapi dibangunkan kawasan lain yang akhirnya terbengkalai pula.

Apakah penyebab kawasan Bukit Kor itu dibiarkan begitu walaupun ianya terletak kurang 20 km dari bandar Kuala Terengganu? Adakah agenda politik penyebabnya kerana Bukit Kor terletak di Dun Rhu Rendang?

Terbengkalainya sesuatu projek mega bermakna sejumlah besar wang rakyat tidak diurus dengan baik. Rakyat Terengganu yang semenjak dahulu dianiaya oleh Umno Terengganu yang membiarkan duit rakyat tidak diurus dengan cermat dan mengakibatkan kerugian serta pembaziran.

Apa yang seharusnya rakyat tahu dan sedar tentang TIA atau 1MDB yang mahu mencagarkan telaga minyak, royalti petroleum RM2 bilion setahun menjadi wang ehsan, Monsoon Cup (RM1 bilion) ditenggelamkan di dasar sungai Terengganu, Projek Bebas Cukai Kenyir serta pulau-pulau sekitarnya, zoo (RM100 juta), stadium runtuh (RM300 juta), LPT2 (RM1.8 bilion) dan banyak lagi projek yang mensia-siakan wang rakyat Terengganu, bukan sedikit jumlahnya.

Oleh itu, PAS mengajak dan menyeru agar rakyat mesti bangkit dan rakyat jangan membiarkan duit rakyat terbiar atau dibazirkan ataupun dikhianati oleh Umno Terengganu lagi, selama-lamanya.

Taman Ilmu adalah duit rakyat Terengganu. Kita tidak dapat melihat peranan kerajaan pusat dalam membantu untuk pendidikan di Taman Ilmu itu. PAS juga bimbang ini hanyalah wayang bagi menyediakan projek kepada kroni-kroni mereka menggunakan wang rakyat. - HARAKAHDAILY 14/7/2016

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu yang juga Adun Bukit Payong.

Share on Myspace