Selesai dulu isu kesesakan, sebelum kutip tol

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: PAS Pahang menggesa pihak kerajaan dan konsesi lebuh raya selesaikan dahulu pelbagai isu berbangkit sebelum bertindak ghairah mengenakan bayaran tol kepada pengguna.

Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, isu kesesakan melampau dan kemalangan maut di lebuh raya setiap kali musim perayaan adalah lebih penting ditangani supaya memberi keadilan kepada rakyat sebagai pengguna

“Sepatutnya selesaikan dulu pelbagai isu yang menyusahkan rakyat seperti kesesakan melampau dan keselamatan seperti peningkatan kes kemalangan maut.

“Isu kesesakan ini, dah bertahun-tahun masalahnya. Setiap kali perayaan ketika itulah berlaku kesesakan melampau umpamanya di Tol Bentong pengguna jalan raya tersekat sehingga lima jam, di Tol Gombak kesesakan sehingga dua jam.

“Apa kajian dan penyelesaian yang kerajaan dan pihak konsesi buat dalam tempoh tersebut?,” soalnya.

Rosli berkata demikian ketika ditanya media berkaitan kutipan tol yang akan dilaksanakan pada 15 Julai (esok) di majlis sambutan hari raya Eidulfitri di pejabat Perhubungan PAS Pahang di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Pesuruhjaya Andansura Rabu dan AJK Harian Negeri.

Kesesakan ini pula hanya akibat kenderaan terpaksa beratur menunggu giliran membayar tol, kata Rosli.

“Jadi apa salahnya jika dikecualikan bayaran umpamanya sehari sebelum raya dan sehari selepas raya, percuma supaya perjalanan tetap lancar dan kita percaya pihak konsesi tetap tidak rugi.

“Sepatutnya inilah yang kena difikirkan oleh kerajaan dan pihak konsesi daripada memikirkan keuntungan semata-mata.

“Lagipun laluan di LPT 2 masih kekurangan prasarana seperti pusat rawat dan rehat (R&R) yang tidak lengkap, tidak ada stesen minyak dan jalan yang bergelombang.

“Jadi ini sudah tentu menganiayai rakyat sebagai pengguna,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md Salleh berkata keputusan kerajaan melaksanakan kutipan tol di LPT2 dibuat setelah mengambil kira kepentingan rakyat.

Katanya, kutipan itu bagi membiayai kos penyenggaraan dan operasi termasuk penyediaan kemudahan seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan. – HARAKAHDAILY 14/7/2016

Share on Myspace