Ikatan sambut baik kenyataan Tuan Ibrahim

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR:  Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor menyambut baik kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyeru "gencatan senjata" sesama pembangkang dan kembali kepada agenda utama untuk menumbangkan BN demi kepentingan masa depan negara dan rakyat.

Pengerusi Ikatan Selangor Datuk Seri Mohamad Badri Abd Rahman melihat usaha ini merupakan langkah awal dalam menghentikan pertelingkahan sesama sendiri sehingga tujuan asal diketepikan menyebabkan BN terus berkuasa.

"Untuk mencari kerjasama baru ini memerlukan perbincangan yang serius antara parti-parti terlibat, ini memandangkan persetujuan yang wujud di dalam Pakatan Rakyat sebelum ini dikhianati dengan begitu mudah," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, setiap parti perlu menyatakan pendirian mereka dan berbincang secara terperinci dalam mencari titik pertemuan agar sebarang kesulitan mengenai pendapat parti masing-masing tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak ataupun menimbulkan ketidakpuasan hati antara parti-parti lain.

"Jika perkara ini tidak menjadi keutamaan, ia akan menemui kegagalan dalam kerjasama tersebut.

Ikatan Selangor turut berpendapat, setiap parti perlu menghormati sesama sendiri dan sebarang kenyataan yang menyerang sesama sendiri perlu dihentikan segera,"ujarnya.

Katanya, perbuatan menyinggung atau mempertikaikan prinsip rakan-rakan parti perlu dihapuskan segera, ini bagi mencari prinsip kerjasama yang lebih harmoni serta politik yang berhemah.

"Sama ada PAS, PKR, DAP mahu pun Amanah perlu menjadikan prinsip demokrasi serta Perlembagaan Persekutuan sebagai garis panduan asas, dan ini memastikan hak setiap kaum dapat dihormati termasuk intitusi Di Raja," katanya.

Sebagai rakan blok ketiga bersama PAS, Ikatan bersedia untuk turut sama dalam perbincangan tersebut bahkan Ikatan juga bersedia untuk mengutarakan pandangan dalam memperkukuhkan kerjasama ini.

Ikatan Selangor berharap kerjasama ini menjadi kenyataan dan menjadi gabungan terkuat dalam menghadapi BN pada PRU14 akan datang.

"Gabungan ini juga diharapkan dapat mengembalikan keyakinan rakyat untuk terus menyokong Pakatan Harapan. Apa yang paling penting adalah gabungan kerjasama baru ini bukan hanya tertumpu pada peringkat atas semata-mata tetapi turut berlaku sehingga peringkat akar umbi," katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Tertinggi Ikatan. – HARAKAHDAILY 14/7/2016

Share on Myspace