Jangan salah tafsir kenyataan Tuan Ibrahim

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Musfafa Ali menegaskan jangan ada mana-mana pihak menyalah tafsir kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tentang kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang.

Beliau berkata, kerjasama politik boleh berlaku dalam berbagai-bagai bentuk dan tidak semestinya kerjasama itu berlaku apabila PAS menyertai Pakatan Harapan.

"PAS tidak akan masuk Pakatan Harapan tetapi dalam waktu yang sama PAS menjalinkan kerjasama dengan PKR iaitu salah satu anggota Pakatan Harapan. Tetapi dalam kepala orang di luar sana kerjasama ini bererti masuk Pakatan Harapan. Ini tidak betul," katanya kepada Harakahdaily.

Apa yang penting, tegasnya pembangkang perlu memastikan kerjasama terutama soal strategi yang boleh diambil dalam pelbagai bentuk seperti memastikan satu lawan satu menentang Umno BN di dalam PRU14 nanti.

Jelasnya, iaitu satu lawan satu antara pembangkang dengan BN yang telah melakukan kerosakan kepada negara hari ini.

Tambahnya, pembangkang boleh melaksanakan kerjasama politik seperti tahun 2008 di mana PAS tidak bekerjasama dengan DAP tetapi bersama dengan PKR setelah DAP keluar daripada Barisan Alternatif pada tahun 2001.

"Waktu itu PAS tidak duduk semeja dengan DAP tetapi boleh berlaku satu lawan satu dengan BN, yang mana ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perantara.

"Begitu juga pada tahun 1990 dan 1995, PAS menjalin kerjasama dengan Semangat 46 dan tidak juga duduk semeja tetapi boleh lawan BN satu lawan satu. Tidak berlaku tiga penjuru. Tengku Razaliegh Hamzah sebagai perantara," jelas beliau ketika dihubungi.

Di dalam konteks yang ada pada hari ini, jelas Mustafa pembangkang wajar mengambil pengajaran dalam siri pilihan raya kecil lepas yang menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru, akhirnya menguntungkan BN.

Kerjasama ini, katanya tidak akan mengorbankan prinsip PAS iaitu perjuangan Islam yang menjadi prinsip PAS sepanjang masa.

Justeru katanya, di dalam suasana PAS masih menjalinkan kerjasama dengan PKR eloklah Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memainkan peranan ini bagi menghadapi PRU14 nanti.

"Dengan kewujudan mereka yang keluar daripada Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan-rakannya yang benar-benar hendak lawan Umno juga boleh memainkan peranan, mahu kerjasama dengan pembangkang tanpa duduk dalam Pakatan Harapan," jelas beliau lagi. - HARAKAHDAILY 14/7/2016

Share on Myspace