Tol LPT2: Utamakan kebajikan rakyat Terengganu

MOHD SHUHAIMI EMBONG | .

Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (Perantau) melahirkan rasa kesal serta kebimbangan dengan keputusan kerajaan negeri merestui kerajaan pusat untuk melaksanakan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang akan bermula pada 15 Julai 2016.

Keputusan ini sudah tentu akan membebankan pengguna lebuh raya di samping memberi tekanan kepada kenaikan harga barang akibat peningkatan kos pengangkutan, terutamanya kepada rakyat Terengganu.

Lebih sedekad lamanya kita dijanjikan lebuh raya setelah negeri-negeri Semenanjung lain berpeluang menikmatinya (kecuali Kelantan). Setelah acap kali tertangguh dengan berbagai masalah pengurusan dan birokrasi hingga memerlukan suntikan dana negeri, LPT2 dibuka sepenuhnya hanya pada awal tahun 2015 dengan berbagai kekurangan.

Setelah hanya seketika rakyat dapat mengecapi kelegaan ini, tiba-tiba kutipan tol dikenakan dalam keadaan membebankan rakyat tanpa mengambil kira kualiti perkhidmatan lebuh raya dan sebahagian kos pembinaan yang ditanggung menggunakan duit rakyat Terengganu (dana kerajaan Negeri Terengganu).

Perantau melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan tergesa-gesa ini. Di mana logiknya bilamana hampir keseluruhan pembiayaan LPT2 ditanggung kerajaan Terengganu melalui Dana Khas, tiba-tiba pihak lain pula diberi hak mengutip tol?

Status penjanjian menjadi rahsia dengan tempoh konsesi serta perincian pengagihan kutipan tidak didedahkan, sementara tuntutan hutang RM1.8 billion masih menjadi tanda tanya. Lebih memeritkan lagi apabila Lebuh raya Pan-Borneo pula beroperasi tanpa sebarang kutipan tol kepada pengguna.

Bukan sahaja lebuh raya ini ditanggung dengan dana rakyat Terengganu secara hakikatnya, bahkan kadar 12 sen/km (untuk kereta) adalah antara tertinggi di negara ini. (rujuk Kenyataan Media Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Bahkan kemudahan di kompleks persinggahan Rehat & Rawat adalah tidak sempurna, kebanyakan gerai masih belum beroperasi, tiada stesen minyak lengkap/kekal, kualiti permukaan jalan yang teruk, tanpa tanda arah, keselamatan dan lampu jalan yang secukupnya menunjukkan bahawa lebuh raya ini belum bersedia sepenuhnya untuk perkhidmatan kepada orang ramai, maka sayuguianya bebanan bayaran tol tidak patut dikenakan sekurang-kurangnya buat tempoh tertentu.

Perantau menyeru Kerajaan Terengganu bertegas dengan menjaga hak rakyat sendiri. Maka Perantau mendesak dan menuntut agar:

⦁    Kutipan tol ditangguhkan sehingga kualiti lebuh raya ditingkatkan, dan semua kemudahan lain disediakan secara secukupnya
   
⦁    Apabila semua perkhidmatan lebuh raya disediakan dengan memuaskan, kadar tol yang bakal dikenakan mestilah pada kadar yang minima mengambil kira sebahagian besar tanggungan pembinaan lebuhraya adalah dari dana rakyat Terengganu sendiri yang mana hutang sebanyak RM1.8 bilion tersebut masih tertunggak.
 
Kerajaan Negeri Terengganu diminta supaya lebih prihatin dalam mempertahankan kepentingan dan kebajikan rakyat Terengganu. Rundingankanlah dengan pihak kerajaan Pusat dan pihak-pihak lain dengan mengutamakan kepentingan rakyat sendiri, bukan kepentingan-kepentingan lain. - HARAKAHDAILY 14/7/2016

Penulis ialah Naib Presiden Perantau.

Share on Myspace