Antarabangsa mesti tekan Myanmar, Suu Kyi

HARAKAHDAILY | .

PAS mengecam sikap Kerajaan Myanmar yang diterajui oleh National League for Democracy (NLD) dan Perdana Menteri ‘de facto’nya, Aung San Suu Kyi yang tidak membela nasib golongan Rohingya dan membiarkan ketegangan antara Buddha dan Islam berterusan sehingga merebak ke beberapa tempat lain di Myanmar.

PAS juga sangat kecewa dengan sikap Suu Kyi yang tidak pernah melawat atau menunjukkan simpati kepada pelarian warga Rohingya yang menjadi mangsa pembunuhan dan pembersihan etnik oleh pelampau Buddha.

Malah, Suu Kyi dilihat tunduk kepada tekanan oleh kumpulan anti-Muslim yang mahukannya menjarakkan dirinya daripada mana-mana calon atau pengundi yang beragama Islam.

Nasib umat Islam Rohingya yang berjumlah 120,000 orang di kem-kem pelarian tidak diberikan perhatian; 800,000 orang ‘dikurung’ di Rakhine disekat ketat daripada mendapatkan akses pendidikan, kesihatan dan pekerjaan; manakala sejak 2012, seramai 140,000 orang terpaksa melarikan diri melalui perairan – sama ada mati dalam perjalanan atau menjadi mangsa penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

PAS menyeru negara-negara anggota Asean dan OIC serta PBB agar memberikan perhatian yang serius dan mengatur langkah yang berkesan bagi menangani krisis kemanusiaan dan memulihkan keamanan di Myanmar, khususnya di Rakhine.

Semua negara dan pertubuhan ini perlu tegas memberikan tekanan dan mendesak Myanmar untuk:

(i) Menamatkan semua penindasan, sekatan dan serangan ke atas warga Rohingya dan membuka akses sama rata bagi mendapatkan pendidikan, kesihatan dan pekerjaan.

(ii) Memberikan hak kerakyatan kepada warga Rohingya dan membenarkan mereka membuat permohonan untuk mendapatkan kerakyatan dan membuktikan kerakyatan mereka.
    
(iii) Menempatkan semula warga Rohingya di penempatan asal mereka dengan mengembalikan semula tanah mereka yang telah dirampas dan membangunkan semula kediaman mereka yang telah dimusnahkan.

PAS menegaskan akan konsisten memperjuangkan keadilan untuk semua tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama serta sempadan geografi sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

PAS mengajak semua pihak untuk saling berkerjasama mengusaha dan memulihkan keamanan di semua tempat di dunia ini.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
14 Julai 2016 | 9 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 14/7/2016

Share on Myspace