OPR: Semua pihak perlu mengekalkan disiplin

MAZLI NOOR | .

IKATAN Ilmuwan Nasional (Ilmuwan) menyambut baik langkah terbaru Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengurangkan Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3%. Ilmuwan yakin bahawa langkah menurunan OPR ini amat relevan dalam suasana ekonomi murung sekarang, yang amat memberi kesan kepada kos sara hidup pengguna.  

Penurunan OPR ini sudah pasti akan disusuli seterusnya dengan langkah penurunan Kadar Asas Pinjaman (BLR) oleh bank-bank. Ini akan mengurangkan kos pinjaman kepada pengguna yang seterusnya meningkatkan perbelanjaan dan agregat permintaan. Keadaan ini akan disokong oleh jumlah kecairan bank-bank Malaysia yang akan terus meningkat, hasil penurunan OPR. Perlu diingat bahawa BNM juga telah menurunkan Keperluan Simpanan Berkanun (SRR) dalam bulan Januari lepas.

Ilmuwan berharap langkah positif oleh BNM ini akan disusuli dengan langkah pemberian pinjaman yang lebih kompetitif oleh bank-bank. Walaupun tindakan terbaru BNM ini akan memberi kesan kepada keuntungan, bank-bank sepatutnya meletakan kepentingan pengguna dan pemeliharaan eko sistem ekonomi lebih daripada kepentingan memaksimakan untung.

Dalam masa yang Ilmuwan juga menyeru kepada semua pengguna agar mengekalkan daya hemah dan disiplin dalam perbelanjaan dan tidak menyalah guna kemudahan baru dalam pasaran sekarang. Ini adalah kerana jumlah hutang isi rumah malaysia sudah amat tinggi berbanding Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sekitar 89%. Perbelanjaan dan hutang secara tidak berhemah akan hanya meneutralkan kesan positif yang mungkin akan terhasil dari langkah terbaru BNM ini.

Ilmuwan yakin, sekiranya semua pihak-pihak berkepentingan dapat mengekalkan disiplin masing-masing, Malaysia akan mampu mencapai sasaran pertumbuhan KDNK 2016 antara 4% ke 4.5%. – HARAKAHDAILY 14/7/2016

Penulis ialah Timbalan Presiden Ikatan Ilmuwan Nasional (Ilmuwan)

Share on Myspace