Bukti bantuan pekebun getah gula-gula pilihan raya

MUHAMMAD SANUSI MD NOR | .

TERLEBIH dahulu LATAS ingin ucapkan terima kasih kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas maklum balas beliau kepada kenyataan LATAS sebelum ini berkaitan BKKH Getah (one-off) kelmarin.

Sesungguhnya, kenyataan beliau itu menimbulkan lebih banyak persoalan, yang secara tidak langsung mengesahkan bahawa one-off itu adalah gula-gula pilihan raya BN untuk membeli undi pilihan raya kecil menggunakan dana awam.

Perdana Menteri telah mengumumkan pada 10 Jun 2016 di Kuala Kangsar bahawa peruntukan khas sebanyak RM194 juta disediakan dan sejumlah 388,000 penerima akan mendapat RM500 setiap orang.

Semalam Menteri KLBW mengumumkan jumlah permohonan yang diterima oleh RISDA ialah 190,583. Selepas diperiksa, hanya 84,754 orang pemohon layak menerima BKKH, dan hanya 47,418 orang daripada jumlah itu sudah menerima bayaran. Selebihnya masih dalam proses semakan, sama ada memenuhi syarat atau tidak.

Persoalan pertama ialah apakah asas peruntukan  RM194 juta itu diumumkan jika penerima yang layak hanya 84,754 orang sahaja, iaitu 44.4% daripada jumlah pemohon (190,583 orang)?

Dari mana pula datangnya angka 388,000 orang yang akan menerima manfaat BKKH yang diumumkan oleh PM tempoh hari?

Berdasarkan pengumuman Menteri semalam, pemohon yang layak hanyalah 21.8% dan telah menerima bayaran hanyalah 12.2% berbanding jumlah yang diumumkan oleh PM (388,000 orang).

Bukankah ini satu gambaran bahawa kerajaan tidak ada perancangan sama sekali untuk melaksanakan BKKH ini, undi pilihan raya kecil itulah yang menjadi sebab utama ia diumumkan.

Berdasarkan maklumbalas Menteri juga, kami mendapati setakat ini RISDA berjaya menyelesaikan bayaran kepada hanya 25% daripada jumlah pemohon. Ini kerana pemohon gagal memenuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan. Bukankah RISDA sebelum ini pernah membuat bayaran BKKH sebanyak dua kali pada 2014 dan 2013? Apakah kumpulan penerima, proses dan syarat-syaratnya telah berubah?

Kakitangan RISDA dimaklumkan terpaksa bekerja lebih masa dan pada hari cuti untuk memproses BKKH ini. Selepas kelmarin, barulah poster makluman akan ditampal di pokok-pokok dan tempat-tempat tumpuan untuk makluman syarat layak kepada orang ramai.

Pegawai-pegawai seranta baru diarahkan turun ke kampung-kampung untuk memberi penjelasan syarat-syarat kelayakan dan cara mengisi borang permohonan.

Persoalan besarnya ialah, bagaimana pula penoreh dan pekebun kecil yang telah menerima BKKH di Kuala Kangsar dan Sungai Besar sebelum hari pengundian? Adakah mereka melepasi syarat-syarat yang ditetapkan? Siapa yang memeriksa, memproses dan menentukan kelayakan mereka? Berapakah jumlah penerima di dua kawasan pilihan raya kecil itu? Adakah 47,418 orang?

Bukankah inipun satu lagi petunjuk bahawa kerajaan tidak ada perancangan teliti untuk melaksanakan BKKH ini, pilihan raya kecil itulah yang menjadi sebab utama ia diumumkan. Kakitangan awam di agensi pula dipergunakan untuk misi membeli undi untuk BN.

Perkembangan ini menunjukkan angka 388,000  orang 'yang bakal' menerima manfaat daripada BKKH, (dengan pecahan 307,770 adalah pemilik pengusaha dan 80,341 penoreh getah), yang diumumkan oleh PM di Kuala Kangsar adalah  tidak benar dan tidak terpakai. Ia hanya manis mulut untuk mempengaruhi undi.

Jika kerajaan sudah mengumumkan peruntukan sebanyak itu, bolehkah kerajaan mempertimbangkan jumlah RM500 itu dinaikkan kepada RM2,288 seorang (RM194 juta dibahagi 84,754 orang)?

Persoalan lain ialah sekiranya angka penerima yang diumumkan oleh PM (388,000 orang) adalah diperolehi daripada bancian RISDA dan berasaskan pembayaran BKKH 2.0 pada 2014, apakah kedudukan angka ini kepada agensi, kepada kerajaan dan kesannya kepada penoreh.

Adakah Menteri mengarahkan agensi  memberi maklumat palsu kepada PM ataupun  kerajaan telah membuat bayaran BKKH 2.0 (pada 2014) itu kepada pihak yang tidak layak sebum ini?

Jika data BKKH 2014 ini sahih, adakah jumlah penoreh dan pekebun kecil di negara ini telah menurun secara mendadak sebegitu sekali? Adakah mereka sebenarnya memiliki kebuh getah sendiri melebihi 2.5 hektar?

Kesimpulan kami kepada penjelasan Menteri semalam adalah pandangan LATAS sebelum ini adalah benar, bahawa one-off adalah projek membeli undi di pilihan raya kecil. Kelam kabut kerja memproses, pembayaran tertangguh,  jumlah penerima, penetapan syarat ketat, kelayakan dan pelanjutan tempoh memohon adalah akibat daripada ketiadaan perancangan pihak kerajaan utuk melaksanakan BKKH, matlamat asal mereka hanyalah menggunakan dana dan agensi awam untuk meraih undi kepada BN.

Kami ingin menegaskan bahawa kaedah terbaik untuk kerajaan membantu penoreh getah ialah menyediakan dana khas seperti itu untuk menaikkan harga getah di pasaran dan boleh bertahan selama beberapa bulan.

Inilah keedah yang lebih adil kepada penoreh dan pemilik kebun, yang mampu mengelak manipulasi, salah bayar, pertindihan permohonan dan lain-lain masalah yang sedang dihadapi oleh pihak agensi pembayar. Penilaian pengundi tetap akan berlaku, dan cara ini adalah bersih daripada menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan parti politik. – HARAKAHDAILY 15/7/2016

Penulis ialah Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS).

Share on Myspace