Apabila pengadil memberikan sepakan penalti

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Wahai anakku,

Apabila pengadil memberikan sepakan penalti, seluruh penyokong, pemain dan pegawai bersorak keriangan. Lebih gembira apabila pemain utama yang banyak menghasilkan gol sepanjang lega ditugaskan mengambil penalti tersebut.

Suasana seluruh stadium dan kaca TV tertumpu kepada sepakan.

Dunia jadi senyap sepi.

Tumpuan hanya satu. Di saat ini pesakit akan lupa sakitnya, si miskin akan lupa kepapaannya, si kaya akan lupa kekayaannya.

Sepakan dibuat...

Bilamana sepakan penalti tersebut berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, suasana terus berubah.

Yang tadinya gembira bertukar menjadi kecewa dan sedih. Yang tadinya bimbang bertukar menjadi riang. Pujian bertukar menjadi cercaan dan kutukan. Cerita gembira beralih kepada cerita dukacita. Yang tadinya kecewa bertukar menjadi gembira.

Hanya dalam beberapa minit sahaja, suasana berubah.

Wahai anakku,

Di saat kamu mendapat sokongan kamu kena sedia untuk menerima kutukan. Di saat kamu dipuji kamu juga kena sedia dikeji. Di saat kamu sedih kamu akan dapati keriangan.

Inilah hakikat kehidupan sementara di dunia kerana Allah menjadikan segalanya berpasangan.

Siang akan bertemu malam. Ada miskin baru ada kaya. Ada susah baru mengenali senang. Ada cahaya barulah kenal kegelapan. Ada ruang kosong barulah mengenal kesempitan.

Semuanya ada pasangan. Inilah hakikat yang kamu mesti bersedia ketika di dunia sementara ini.

Semoga Allah memberikan ganjaran besar di atas sabar dan syukurmu.

Senyum selalu. - HARAKAHDAILY 15/7/2016

Share on Myspace