PAS serah memo bantah regim Myanmar

HARAKAHDAILY | .

Bantah penindasan terhadap muslim rohingya & ketegangan agama di Myanmar

PAS mengecam sikap Kerajaan Myanmar yang diterajui oleh National League for Democracy (NLD) dan Perdana Menteri ‘de facto’nya, Aung San Suu Kyi yang tidak membela nasib golongan Rohingya dan membiarkan ketegangan antara Buddha dan Islam berterusan sehingga merebak ke beberapa tempat lain di Myanmar.

PAS juga sangat kecewa dengan sikap Suu Kyi yang tidak pernah melawat atau menunjukkan simpati kepada pelarian warga Rohingya yang menjadi mangsa pembunuhan dan pembersihan etnik oleh pelampau Buddha.

Malah, Suu Kyi dilihat tunduk kepada tekanan oleh kumpulan anti-Muslim yang mahukannya menjarakkan dirinya daripada mana-mana calon atau pengundi yang beragama Islam.

Kerajaan Myanmar sepatutnya memberikan pembelaan kepada umat Islam Rohingya yang berjumlah 120,000 orang di kem-kem pelarian; kepada 800,000 orang yang ‘dikurung’ di Rakhine tanpa akses pendidikan, kesihatan dan pekerjaan; dan kepada warga Rohingya yang terpaksa melarikan diri melalui perairan – sama ada mati dalam perjalanan atau menjadi mangsa penyeludupan dan pemerdagangan manusia – yang telah mencecah 140,000 orang sejak 2012.

Kerajaan Myanmar mesti menghentikan keganasan kelompok pelampau Buddha terhadap masyarakat Muslim Rohingya kerana ia bukan perkara baharu; sebaliknya telah bermula sejak 1970-an dan berterusan sehingga ke hari ini.

Puluhan ribu masyarakat muslim Rohingya telah kehilangan tempat tinggal dan ribuan yang lain dibunuh dengan kejam oleh kumpulan ultra-nasionalis Buddha pada 2012. Kini, untuk ke sekian kalinya kekejaman yang sama berulang lagi.

Sikap Kerajaan Myanmar yang tidak meletakkan kumpulan pelampau ini sebagai "ekstremis" mahupun "teroris", sebaliknya hanya sekadar "ultra-nasionalis" seperti kebanyakan gelaran yang diberikan oleh media antarabangsa kepada kumpulan anti-Muslim tersebut menunjukkan sikap “double standard” Kerajaan Myanmar dalam mendepani isu keganasan.

Pendirian Kerajaan Myanmar kelihatan tidak tegas dan tidak bersungguh untuk menangani isu ini. Aung San Suu Kyi terbukti gagal berfungsi seperti yang diharapkan khususnya oleh negara-negara serantau.

Pendirian dan sikap Myanmar dalam isu ini telah merosakkan imej dan membelakangkan kepentingan negara-negara ASEAN yang lain.

PAS dengan ini mendesak Kerajaan Myanmar untuk :

1. Menamatkan semua penindasan, sekatan dan serangan ke atas warga Rohingya dan membuka akses sama rata bagi mendapatkan pendidikan, kesihatan dan pekerjaan.

2. Memberikan hak kerakyatan kepada warga Rohingya, membenarkan mereka membuat permohonan dan membuktikan kerakyatan mereka serta menikmati semua hak sebagai rakyat Myanmar.

3. Menempatkan semula warga Rohingya di penempatan asal mereka dengan mengembalikan semula tanah mereka yang telah dirampas dan membangunkan semula kediaman mereka yang telah dimusnahkan.

PAS mendesak Kerajaan Myanmar agar segera mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku ini. PAS dengan ini menyatakan bahawa akan terus memberikan tekanan dan desakan kepada Kerajaan Myanmar dan menggembleng solidariti seluruh rakyat dan NGO sehinggalah warga Rohingya mendapat perhatian dan pembelaan yang sewajarnya daripada Kerajaan Myanmar. – HARAKAHDAILY 15/7/2016

Share on Myspace