Parti baharu: PAS tidak akan naik bahtera kelam kabut

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

MARANG: PAS akan mengkaji secara teliti cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berhasrat menubuhkan parti politik baharu.

Namun, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa parti itu tidak akan bersama dengan ‘bahtera’ yang kelam kabut.

Menurutnya, PAS tidak akan terburu-buru dan akan berbincang secara terperinci melalui Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Jawatankuasa Politik dan Majlis Syura Ulamak (MSU).

“Saya kena baca secara teliti cadangan itu. Saya tengok awal-awal lagi sudah dalam keadaan yang kelam kabut. PAS tidak akan naik ‘bahtera’ yang kelam kabut.

“Apatah lagi kita dapati kerjasama dengan parti-parti yang menentang perjuangan kita, menentang Islam.

“Pendirian kita adalah mengikut sempadan parti kita. Kita tak terburu-buru dan kita akan bincang secara terperinci.

“PAS ada Jawatankuasa Politik, Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak. Jawatankuasa PAS Pusat itu secara umum, Jawatankuasa Politik itu dari segi strategi, Majlis Syura Ulamak pula melihat batas sempadan Islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wakil media selepas menyampaian Kuliah Mingguan Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang hari ini.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan cadangan mana-mana pihak menubuhkan parti politik dibenarkan dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

“Tubuh parti baharu ini hak masing-masing dalam negara demokrasi, termasuklah jika kerajaan benar parti komunis pun boleh tubuh, jika kerajaan benar parti Komunis tetapi diluluskan oleh kerajaanlah.

“Kita tidak boleh halang dari segi kitanya, kita bekerjasama mengikut sempadan kitalah. Kerjasama dalam perkara yang adil, perubahan yang baik.

“Jangan sentuh Islam. Dasar PAS, matlamat perjuangan PAS, agenda perjuangan PAS jangan disentuh. Itu jika ada orang cuba halang kita akan lawan termasuk Umno ke, DAP ke, PKR ke, Tun Mahathir ke siapa? Itu sempadan dia,” tegasnya. - HARAKAHDAILY 15/7/2016

Share on Myspace