Kos 1 km LPT2 lebih RM100 juta berbanding LPT3?

HARAKAHDAILY | .

Exco sahkan kos bagi sekilometer LPT2 lebih RM100 juta berbanding LPT3

Saya merujuk kepada kenyataan rasmi Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Terengganu, YB Ir Rosli Othman yang telah disiarkan semalam berkenaan isu kerajaan negeri memulakan pembayaran tol di LPT2 yang telahpun bermula pagi tadi jam 12.01 pagi tadi. Di sini, suka PAS Terengganu mengembalikan beberapa pertanyaan serta beberapa keterangan bagi dijelaskan oleh kerajaan negeri Terengganu terhadap kenyatan rasmi tersebut. Kami mengambil beberapa ungkapan yang ada dalam kenyataan rasmi beliau sebagai rujukan kepada soalan kami.

1. YB Ir Rosli menyatakan bahawa LPT2 ini telah menjadi laluan utama untuk pengguna pulang beraya dan banyak membantu merancakkan ekonomi negeri di Pantai Timur bagi urusan pengangkutan, pelancongan dan lain-lain.

- PAS bersetuju ekonomi akan menjadi lebih rancak jika ada sistem pengangkutan yang baik, tetapi tol akan memberikan kesan kepada kenaikan harga barang dan bagaimanakah langkah kerajaan untuk mengawalnya? Sedangkan mengikut sejarah, kerajaan sentiasa gagal dalam menangani isu kenaikan harga barang.

2. Pada dasarnya Kerajaan Persekutuan telah bersetuju membayar balik RM1.83 bilion tersebut kepada kerajaan negeri Terengganu dan kedua-dua pihak kini sedang meneliti kaedah-kaedah pembayaran semula.

- Apakah maksud perkataan “pada dasarnya”? Penggunaan ayat ini seperti bermaksud sesuatu itu bersyarat. Sepatutnya digunakan perkataan “Kerajaan Persekutuan telahpun bersetuju untuk membayar balik keseluruhan RM1.83 bilion wang rakyat Terengganu tanpa syarat”

- Kedua, bagaimanakah bentuk perjanjian ketika mula-mula pinjaman diberikan negeri kepada kerajaan persekutuan sedangkan cara pembayaran semula pinjaman itu tidak diketahui sehinggakan terpaksa diteliti semula? PAS mendesak kerajaan negeri mengemukakan kepada rakyat kandungan perjanjian pinjaman wang rakyat Terengganu itu.

3. Daripada jumlah pembayaran tersebut juga kerajaan negeri akan menggunakannya bagi melaksanakan cadangan pembinaan LPT 3.

- Adakah sekali lagi kerajaan negeri “dipaksa” menggunakan wang rakyat Terengganu bagi membina LPT3? Di manakah tanggungjawab kerajaan Persekutuan ke atas kerajaan negeri Terengganu? Mengapa di negeri-negeri lain kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebegitu banyak perbelanjaan tetapi hanya di Terengganu? Jadi apakah maknanya wang rakyat Terengganu RM1.83 bilion itu dikembalikan?

4. Kos pembinaan LPT3 sepanjang 170 kilometer itu dijangka menelan belanja RM2.4 bilion.

- Dibuktikan secara jelas oleh Exco bahawa pembinaan LPT2 dilakukan secara tidak bertanggungjawab kerana LPT2 menelan belanja RM4.25 bilion bagi 184 km tetapi LPT3 dijangka menelan hanya RM2.4 bilion bagi 170 km. Perbezaan hanya 14 km tetapi kosnya melonjak hampir RM1.8 bilion. Purata RM100 juta lebih bagi satu kilometer atas lebihan 14 km itu.

- Apakah pula jaminan kerajaan dalam melantik kontraktor yang bertanggungjawab serta memenuhi spesifikasi pembinaan agar kes kontraktor lari atau tidak memenuhi spesifikasi pembinaan LPT2 tidak berulang, sekali gus akan mengelakkan kenaikan kos pembinaan LPT3?

5. Pada dasarnya pembinaan LPT3 telah diluluskan Perdana Menteri dan ia dalam peringkat mengenal pasti lokasi dan menyiapkan reka bentuk oleh pihak dipertanggungjawabkan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)

- Apakah jaminan kerajaan negeri untuk berlaku adil ke atas pemilik tanah yang bakal diambil, agar tidak berulang tragedi seperti di Banggol Donas dan Merchang?

6. Tambahan pula, sasaran pengguna LPT2 sebelum ini ialah sebanyak 50,000 kenderaan atau lebih sehari bagi mencapai jumlah kutipan tol untuk menampung kos pembinaan, operasi dan penyelenggaraan. Namun, statistik menunjukkan secara purata kasar, lebih kurang 20,000 kenderaan sahaja yang menggunakan LPT2 ini setiap hari, di mana 30,000 kurang daripada target asal.

- Apakah alasan kekurangan kenderaan daripada jangkaan itu? Tidak lain adalah kerana statistik kemalangan yang tinggi, tiada kemudahan asas, keadaan jalan yang tidak baik hasil dari kerja-kerja yang tidak dibuat dengan betul ketika pembinaan. Rakyat tidak mahu mengambil risiko hasil kecuaian ini. Beban kesalahan kerana kurangnya kenderaan menggunakan LPT2 semestinya dipikul oleh kerajaan negeri.

7. Oleh itu, pihak kerajaan negeri meminta rakyat agar dapat memahami mengapa kutipan tol telah pun bermula pada tarikh yang ditetapkan serta tidak menimbulkan sebarang isu siapa yang berhak ke atas pengendalian operasi terhadap LPT2 kerana ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan pengguna.

- Rakyat memahaminya jika apa yang PAS gariskan itu diselesaikan. PAS tidak hanya bersuara pada hari ini, tetapi PAS telah dituduh dengan pelbagai nama yang tidak baik kerana memperjuangkan hak rakyat Terengganu semenjak bertahun-tahun lamanya bermula dari proses pembinaan LPT2 sehinggalah ianya siap. Sekarang melalui jawapan Exco, jelas kebenaran yang PAS perjuangkan dahulu adalah benar atas nama kepentingan rakyat Terengganu. Tidak perlu Umno Terengganu berselindung lagi dengan apa-apa. Jawapan Exco ini adalah cop mohor bahawa PAS istiqamah memperjuangan hak rakyat.

USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Terengganu
10 Syawal 1437 / 15 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 15/7/2016

Share on Myspace