Miskin: Atasi dengan agih kekayaan negara

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM | .

KEMISKINAN: ATASI DENGAN PENGAGIHAN KEKAYAAN NEGARA BUKAN DENGAN ZAKAT SEMATA-MATA

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al Hasyr ayat 7:

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

"..Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).."

Setiap tahun isu zakat dan institusi yang berkaitan dengannya sering kali menjadi baham bual bicara dan perbahasan masyarakat.

Ini kemungkinan disebabkan beberapa faktor dan yang paling ketara adalah kerana luahan hati pelbagai pihak akan keadaan kesempitan hidup sebahagian besar rakyat dalam negara ini.

Pelbagai pandangan dilontarkan sama ada berdasarkan ilmiah mahupun sekadar lontaran persepsi terhadap sistem zakat dan institusinya ketika isu kemiskinan dan kesempitan hidup sebahagian rakyat.

Sama ada ia adalah satu pandangan yang positif dan tidak terkecuali juga padangan yang negatif sering dibangkitkan oleh kebanyakan pihak terhadap isu ini yang turut mengheret institusi zakat.

Apa yang pastinya bahawa zakat dan institusinya menjadi fokus dan tumpuan umat Islam sebagai salah sebuah institusi Islam yang mampu mengangkat martabat umat Islam dan rakyat secara umumnya.

Zakat sememangnya salah satu elemen sistem kewangan dan ekonomi dalam Islam yang sangat signifikan bagi menangani isu kewangan dan jurang ekonomi di kalangan masyarakat dan rakyat.

Semestinya zakat bukan hanya dilihat dalam Islam sebagai aspek kewajiban agama sahaja malah ia juga sebagai tanggungjawab umat Islam dalam urusan bernegara dan bermasyarakat.

Ini dibuktikan dengan apabila dilihat dalam Al-Quran kita pasti akan ketemui ayat tentang perintah solat dinyatakan, maka ayat zakat turut beriringan. Adalah jelas mesej daripada Allah s.w.t. difahami konsep perintah solat ialah membina hubungan dengan Allah, manakala perintah menunaikan zakat ialah bertujuan membina hububgan sesama manusia. Kedua-dua kewajiban ini mewakili maksud peranan Umat Islam dalam mengadbikan diri kepada Allah s.w.t.

Kini, rata-rata dilihat dan diluahkan majoriti rakyat yang merasakan diri mereka semakin terhimpit dengan pelbagai tekanan kewangan dan bebanan tanggungan kehidulan yang dihambat dengan harga barangan yang tinggi, termasuk keperluan asas, gaji minima yang rendah, kos sara hidup yang tidak menentu, ketidakmampuan memiliki rumah sendiri, harga utiliti seperti air dan elektrik yang merupakan hak rakyat masih tinggi dan kemudahan pengangkutan yang masih tidak kompetetif.

Semua ini menjadi faktor kepada terbangkitnya perbahasan isu zakat dan isu yang berkaitan dengannya oleh pelbagai pihak sebagai usaha keprihatinan dan kerisauan kepada situasi yang melanda.

Ayat dipermulaan artikel di atas adalah dalam surah al Hasyr terdiri daripada gugusan ayat daripada 6 sehingga 9 yang memberikan satu pengajaran kepada kita bahawa Allah s.w.t. mendidik kita bagaimana mengurus tadbir institusi kewangan dan perbendaharaan negara seperti komoditi, hasilan, industri dan juga termasuk zakat dan lelaiannya.

Gugusan ayat tersebut menceritakan tentang hukum dan aturcara pengurusan harta al Fai' kepada Negara Islam Madinah hasil daripada perolehan Nabi s.a.w. dan umat Islam dengan pengusiran Yahudi Bani Nadhir keluar daripada Perkampungan Bani Nadhir yang terletak hanya 2 batu daripada Kota Madinah.

Dalam ayat tersebut Allah memerintahkan bahawa harta orang kafir yang diperolehi dengan cara tanpa berlaku peperangandan tanpa pertumpahan darah serta kesukaran itu diserahkan kepada Rasulullah s.a.w. dan milik umat Islam. Harta tersebut diuruskan berdasarkan kepentingan Umat Islam yang diuruskan oleh Baginda Nabi s.a.w.

Diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Muslim dan lain-lainnya bahawa harta Al Fai' tersebut diambil oleh Rasulullah s.a.w. untuk nafkah ahli keluarga Baginda selama setahun atau makanan setahun. Ia merupakan hak yang dikurniakan Allah kepada Baginda s.a.w. pada ketika Baginda masih hidup. Manakala selepas kewafatan Baginda, ianya digunakan untuk keperluan umat Islam.

Harta Al Fai' juga diagihkan kepada anak yatim, fakir miskin dan ahli musafir atau Ibnu Sabil. Adapun empat perlima lagi daripada Al Fai' dibahagikan kepada seluruh umat Islam.

Ketetapan pembahagian harta Al Fai' oleh Allah s.w.t. sebagai menunjukkan kepada kita bahawa Allah s.w.t. ingin mempastikan bahawa manusia bersikap adil dan saksama dalam mengagihkan segala perolehan harta negara kepada mereka yang berhak oleh penguasa dan pemerintah bagi sesebuah rakyat dan negara.

Ini dilihat menerusi firmanNya dalam ayat 7 surah al Hasyr:

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

"..(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.."

Ia juga menjadi satu pengajaran bahawa adalah sepatutnya harta hasil perolehan negara dirasai atau juga dinikmati oleh setiap rakyat dan ia tidak dimonopoli sesama golongan yang kaya sahaja atau mereka yang berkepentingan seperti penguasa dan pemerintah.

Konsep pengagihan harta perbendaharaan negara seperti al Fai' inilah pengajaran daripada Allah s.w.t. bahawa kekayaan yang dimiliki negara seperti minyak, air serta tanah hendaklah diagihkan kepada manusia atau rakyat bagi sesebuah negeri.

Beginilah caranya didikan Al-Quran, sekalipun disana terdapat mekanisme seperti zakat atau simpanan Baitul Mal yang sememangnya mensasarkan golongan yang tidak bernasib baik seperti fakir miskin. Namun, zakat semata-mata tidak berkapasiti ampuh mengatasi masalah kemiskinan apabila kekayaan negara dalam bentuk keperluan asas seperti air, elektrik, tanah menjadi satu bebanan yang berat yang perlu ditanggung oleh manusia atau rakyat dalam sesebuah negeri.

Marilah kita meneliti satu situasi, seorang peniaga pisang goreng yang berstatus miskin dikunjungi oleh pihak Pengurusan Zakat untuk menbantunya. Tentunya pihak Pengurusan Zakat membantunua dengan menyumbang bantuan seperti peralatan memasak dapur dan peti sejuk sebagai bantuan utama selain wang tunai untuk memajukan usahanya. Tetapi, bukankah dapur memerlukan gas untuk menyalakan api untuk memasak dan peti sejuk mengkonsumkan bekalan tenaga elektrik? Kedua-dua komoditi ini adalah sebahagian daripada sumber kekayaan negara yang sewajar diagihkan sebaik mungkin untuk dinikmati oleh rakyat negeri itu sendiri? Sekiranya kedua-dua komoditi ini mahal, sehingga rakyat tertanggung beban yang menyusahkan mereka, bagaimana bantuan daripada Pengurusan Zakat tadi mampu mengeluarkan peniaga pisang goreng daripada keadaan kemiskinannya?
Sudah tentu, tidak.

Justeru itu, zakat adalah satu mekanisme sebagai "bantuan pendorong" kepada penyelesaian masalah jurang kemiskinan dan bukannya satu-satunya cara untuk mengatasi kemiskinan. Zakat membantu mendorong kepada mekanisme paling asas yakni tanggungjawab pengagihan nikmat dan kekayaan negara yang dikurniakan oleh Allah atau diusahakan oleh negara yang diamanahkan kepada para penguasa dan pemerintah kepada sesebuah negera.

Maka dengan sebab itu, berkewajiban kepada setiap penguasa dan pemerintah negara yang menguruskan dan mengusahakan milikan negara dan perolehannya mengagihkan kekayaan dan nikmat ini sampai ke sasaran sebenar iaitu rakyat yang majoritinya adalah mereka yang miskin dan juga berpendapatan rendah.

Mudah-mudahan coretan idea pendek ini mampu menjadikan sebagai bahan untuk sama-sama kita berfikir kepada nasib saudara kita yang tidak berkemampuan dan bernasib baik dan bagaimana kita mampu membela mereka. - HARAKAHDAILY 16/7/2016

Penulis ialah Pengarah Penerangan Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor.

Share on Myspace