Tolak rampasan kuasa, campur tangan asing

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengikuti perkembangan cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera di Turki yang bertujuan untuk merampas serta menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah dalam pilihan raya.

DPPM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini yang jelas bercanggah dengan nilai dan prinsip demokrasi serta merampas kebebasan rakyat Turki yang memilih kerajaan dengan telus dalam pilihan raya umum, menimbulkan kekacauan serta ketidakstabilan politik di dalam negara.

DPPM meletakkan penghargaan kepada rakyat Turki termasuk parti-parti pembangkang yang berdiri teguh dan bersatu hati menggagalkan cubaan rampasan kuasa ini dengan mengetepikan pertikaian sesama mereka demi kepentingan negara.

DPPM berharap semua pihak termasuk pemerintah, tentera, parti-parti politik dan kumpulan-kumpulan lain serta rakyat Turki sendiri mengambil pengajaran daripada episod cubaan rampasan kuasa ini dan terus berusaha membina Turki yang lebih demokratik dan meletakkan rakyat terbanyak sebagai kepentingan utama.

Semoga Turki lebih selamat dan umat Islam serta seluruh rakyat Turki bersatu hati mendepani sebarang cabaran.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua DPPM
(Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM)
17 Julai 2016 | 12 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 17/7/2016

Share on Myspace