Tol LPT2: Razif, Umno lemah punca rakyat jadi mangsa

HARAKAHDAILY | .

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), kami melahirkan rasa simpati kepada rakyat yang berterusan menanggung bebanan berterusan akibat berada di bawah pemerintahan Umno BN.

15 Julai 2016 merupakan sejarah hitam bagi Terengganu dan penduduknya apabila kutipan tol yang sudah lama pupus di Terengganu sejak akhir tahun 1999, kini muncul kembali. 16 tahun lalu, tol pertama dan terakhir telah dihapus di Jambatan Sultan Mahmud sebaik sahaja PAS memerintah Terengganu.

DPPNT menyedari kutipan tol adalah suatu keperluan bagi mengurus dan menyelenggara sesebuah lebuh raya. Namun berdasarkan keadaan semasa LPT2, kewajaran melaksanakan kutipan tersebut masih dilihat tidak wajar kerana beberapa faktor:

1. Ketiadaan kemudahan utama seperti stesen minyak.

2. Faktor jalan beralun dan merbahaya yang tidak diselesaikan sepenuhnya.

3. Faktor kawalan sepanjang lebuh raya dari binatang ternakan dan haiwan liar yang membahayakan pengguna.

DPPNT melihat faktor kelemahan YAB Ahmad Razif sebagai Menteri Besar dan Umno Terengganu mempertahankan hak dan kedaulatan negeri Terengganu menjadi faktor Lembaga Lebuhraya Malaysia membenarkan kutipan tol ini dijalankan.

Walhal, dengan isu penggunaan wang kerajaan negeri sebanyak RM1.8 bilion di dalam pembinaan LPT2 terbabit, sepatutnya kerajaan negeri berhak memberi tekanan kutipan tol ditangguhkan sehingga dipulangkan terlebih dahulu.

Sebaliknya Kerajaan Umno Terengganu bersikap lunak apabila menawarkan wang berkenaan bagi digunakan pula untuk LPT3.

Sikap lemah kerajaan Umno Terengganu bukan sahaja menyusahkan dan membebankan rakyat, namun mempertaruhkan nyawa rakyat.

Ustaz Kamaruzaman Abdullah
Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu - HARAKAHDAILY 17/7/2016

Share on Myspace