Pelajar Yik terkandas di Turki berlepas ke Kaherah

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Seramai 60 pelajar lepasan Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang terkandas di Lapangan Terbang Istanbul dijangka berlepas ke Kaherah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, guru pengiring Ustaz Ahmad Fakhruddin Abdul Rahman memberitahu mereka berada dalam keadaan selamat di Turki.

“Alhamdulillah mereka kini telah berada di Lapangan Terbang Istanbul dan Insya-Allah petang ini akan berlepas ke Kaherah,” katanya di sini.

Pelajar terbabit menaiki Turkish Airline sepatutnya transit di Istanbul namun terpaksa mendarat di Ankara kelmarin akibat cubaan rampasan kuasa tentera Jumaat lepas.

Menurut laporan seramai 161 terkorban dalam cubaan merampas kuasa tentera bagi menentang kerajaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan. Namun cubaan rampasan kuasa itu gagal dipatahkan polis dan rakyat.

Dr Fadzli berkata walaupun rombongan pelajar terbabit terkandas sehari semalam, namun mereka berada dalam keadaan selamat.

“Makan minum mereka dibekalkan Hotel Ankara yang juga tempat penginapan mereka di sana,” ujarnya.

Manakala di Kaherah pelajar Kelantan mengadakan solat hajat di Surau Wisma Sultan Muhammad V malam semalam untuk memohon keselamatan rombongan pelajar Kelantan yang transit di Turki.

Pada program itu Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah Ustaz Pahruddin Karimi menyampaikan taklimat ringkas situasi semasa di Turki dan keadaan rombongan pelajar Kelantan yang terkandas di Ankara. - HARAKAHDAILY 17/7/2016

Share on Myspace