Al-Qaradhawi kirim mesej solidariti kepada Erdogan

HARAKAHDAILY | .

Rentetan kejayaan kerajaan dan rakyat Turki menggagalkan cubaan rampasan kuasa di negara itu kelmarin, Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, telah menghantar mesej solidariti dan sokongan kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan.

“Allah bersamamu; dunia Arab dan dunia Islam juga bersamamu; bahkan, seluruh insan merdeka di dunia ini bersama denganmu; kami, ulamak umat Islam di timur dan barat juga bersamamu; Jibril, orang-orang yang soleh lagi beriman, serta para malaikat turut berada di belakangmu.

“Kami semua bersamamu; kerana engkau menyebelahi kebenaran menentang kebatilan, bersama keadilan menghadapi kezaliman, engkau menyertai rakyat menentang para diktator, bersama kebebasan menentang golongan penjajah, engkau bersama syura dan demokrasi menentang mereka yang mendekam rakyat dengan cemeti serta menekan mereka dengan kekerasan.

“Wahai presiden yang disegani, rentasilah jalanmu yang lurus untuk membina Turki yang engkau impikan, seperti Turki yang kami impikan; dan untuk memimpin manusia menuju kebenaran, menyeru mereka kepada petunjuk serta membantu mereka yang lemah dan menolong mereka yang tertindas.

“Kami bersamu, kami akan perkemas azammu, dan kami sokong kumpulan dan penolongmu.”

Di akhir kiriman itu, beliau membawa ayat Al-Quran:

{يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ}.

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.” (Surah Al-Taubah: 119) - (ulamasedunia.org)

Share on Myspace