Bank kecil dicadang gabung hadapi ekonomi semasa

MAZLI NOOR | .

IKATAN Ilmuwan Nasional (Ilmuwan) mengalu-alukan langkah segera Malayan Banking Bhd. menurunkan kadar faedah pinjaman sebanyak 20 mata asas, susulan dari langkah Bank Negara Malaysia (BNM) memotong Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas. Langkah segera daripada kumpulan perbankan terbesar Malaysia ini adalah amat positif terutama kepada pengguna.

Ilmuwan amat yakin langkah contoh yang dimulakan oleh Maybank ini akan diikuti oleh bank-bank komersil Malaysia lain. Apalagi setelah Gabenor BNM sendiri menyatakan bahawa pemotongan OPR ini sebagai langkah pencegahan untuk mempastikan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2016 dapat dicapai. Ilmuwan melihatnya adalah komitmen Gabenor dalam bentuk “desperate measure for desperate time”.

Walaupun apa yang berlaku kepada pasaran ini amat positif kepada pengguna, Ilmuwan menjangkakan bahawa dalam tempoh jangka pendek dan sederhana kadar keuntungan kepada sektor perbankan akan menyusut sebelum mengalami normalisasi.

Namun kesan ke atas keuntungan ini amat minima kepada kumpulan-kumpulan perbankan besar Malaysia. Berdasarkan analisa Ilmuwan, kesan terhadap keuntungan kumpulan Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd dan Public Bank Berhad adalah dijangka amat minima dan hampir boleh diabaikan.

Namun begitu kesan ke atas keuntungan ini akan lebih ketara kepada kumpulan-kumpulan perbankan kecil yang lain.

Daripada analisa awal Ilmuwan, trend penyusutan keuntungan mungkin akan berterusan berdasarkan kesungguhan yang ditunjukan oleh pihak Gabenor BNM bagi mempastikan sasaran pertumbuhan KDNK dicapai.

Ini dibuktikan dengan kenyataan Gabenor bahawa untuk tempoh sekarang tiada lagi pemotongan kadar faedah akan dilakukan, walaupun tidak menolak kemungkinan ianya akan dinilai kembali pada masa akan datang. Jesteru itu, tekanan kepada keuntungan bank-bank kecil adalah dijangka akan berterusan.

Melihat kepada trend ini, Ilmuwan berpandangan bahawa usaha penggabungan bank untuk gelombang seterusnya adalah langkah yang perlu dinilai dan dipertimbangkan dengan serius oleh industri.

Ini adalah kerana dengan inisiatif penggabungan ini bank-bank akan dapat mewujudkan skala ekonomi yang lebih baik bagi menyerap tekanan ke atas keuntungan. Hasil daripada itu faedah kepada pengguna akan dapat dikekalkan yang seterusnya memacu permintaan.

Ini juga dengan secara langsung akan dapat menyokong dan terus memperkasa sektor domestik, terutama untuk tempoh ekonomi yang perlahan sekarang.

Berdasarkan analisis, Ilmuwan berpandangan dan mencadangkan gelombang penggabungan seterusnya adalah berpotensi dan boleh dilakukan mengikut dua kluster berikut:

Kluster 1
Bank Islam Malaysia Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Malaysia Building Society Bhd.    

Ketiga-tiga entiti ini pernah mengilhamkan penggabungan namun tidak berjaya. Ilmuwan berpandangan usaha ini perlu diteruskan bagi menghasilkan kumpulan kewangan Islam terbesar Malaysia.

Kluster 2    
RHB Banking Group dan Affin Bank Bhd.     

Kedua-dua entiti GLC ini mempunyai DNA yang sama namun masih belum menguasai pasaran serantau. Ilmuwan berpandangan dengan kekuatan perbankan peruncitan dan pelaburan yang ada, penggabungan akan menghasilkan kumpulan yang lebih kukuh diperingkat serantau.
    
Untuk bergerak ke hadapan, Ilmuwan juga menjangkakan gelombang penggabungan ini akan terus relevan dan akan berlaku, bukan hanya terhenti dengan jangkaan dua kluster di atas. Langkah penggabungan ini adalah kaedah terbaik dalam usaha untuk terus menyokong perkembangan ekonomi dan seterusnya mencapai sasaran pertumbuhan. – HARAKAHDAILY 18/7/2016

Penulis ialah Timbalan Presiden Ikatan Ilmuwan Nasional (Ilmuwan)

Share on Myspace