Pelajar terkandas di Turki tiba di Kaherah

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kesemua 59 pelajar lepasan Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan seorang guru pengiring yang terkandas di Lapangan Terbang Istanbul dua hari lalu selamat tiba di Kaherah jam 9 malam tadi.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob melahirkan syukur kepada Allah Taala kerana semua pelajar selamat sampai ke destinasinya.

“Ibu bapa pelajar tidak perlu risau berhubung perkara itu lagi,” katanya selepas majlis Hari Raya Aidilfitri bersama masyarakat pelbagai kaum di Jalan Tengku Petra Semerak hari ini.

Program berkenaan dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Pelajar terbabit menaiki Turkish Airline sepatutnya transit di Istanbul namun terpaksa mendarat di Ankara Jumaat lepas akibat cubaan rampasan kuasa tentera.

Menurut laporan media seramai 161 terkorban dalam cubaan merampas kuasa tentera bagi menentang kerajaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan.

Namun cubaan rampasan kuasa itu gagal dan berjaya dipatahkan polis dan rakyat.

Menteri Besar berkata, perkembangan itu dimaklum guru pengiring dari Yik, Ustaz Ahmad Fakhruddin Abdul Rahman.

Menurutnya sebaik sahaja sampai di Kaherah pelajar terbabit akan menduduki peperiksaan bagi menentukan kelayakan memasuki kuliah atau mengikuti kelas bahasa Arab.

Fakhruddin pula ketika dihubungi mengesahkan kesemua 59 pelajar dalam keadaan selamat dan sekarang berada di Wisma Sultan Muhammad V di Hayyu Sabiek.

“Alhamdulillah kami selamat tiba di Kaherah jam 9 malam tadi,” ujarnya.

Ketibaan pelajar terbabit disambut wakil kedutaan Malaysia ke Mesir dan Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Ustaz Mohd Nawi Salleh. – HARAKAHDAILY 18/7/2016

Share on Myspace