DBKL digesa tidak naikkan caj parkir

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa memikirkan semula tindakan mereka yang mengenakan caj baru di kesemua parkir miliknya bermula hari ini, demikian menurut Pesuruhjaya PAS Wilayah Mohamad Nor Mohamad.

Katanya, kadar caj parkir baru yang dikenakan sebanyak RM2 pada sejam pertama dan RM3 untuk jam kedua dan seterusnya dilihat agak melampau dalam keadaan rakyat di Lembah Kelang yang semakin tertekan dengan pelbagai kenaikan kos hidup.

"Parkir adalah satu keperluan kepada penghuni di Lembah Kelang, jadi kesempatan untuk DBKL menaikkan kadar parkir adalah tidak wajar. Sepatutnya memikirkan bagaimana hendak menambah jumlah parkir bukannya menaikkan kadar," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, dengan menambahkan jumlah parkir bukan sahaja memberi pulangan kepada DBKL bahkan menyenangkan pengguna yang hari ini cukup susah untuk mendapatkan parkir yang amat sedikit berbanding jumlah kereta yang ada.

"Banyak usaha yang boleh dilakukan oleh DBKL termasuk menyediakan parkir bertingkat yang memang boleh menjimatkan ruang," ujarnya ketika dihubungi

Hari ini, dilaporkan kesemua parkir milik pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah dinaikkan sebanyak hampir 3 kali ganda atau 150 peratus iaitu contoh 80 sen bagi sejam pertama tempat letak kereta sebelum ini dan kini kadarnya ialah RM2, sementara jam kedua dan seterusnya mengenakan caj RM3.

Antara kawasan yang terlibat dalam peningkatan kadar berkuatkuasa hari ini ialah Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Sri Ismail dan Bangsar.

Kenaikan kadar di kawasan lain akan dikuatkuasakan secara berperingkat bermula hari ini sehingga 1 Ogos.

Antara tempat letak kereta milik DBKL di luar pusat perniagaan di ibu kota yang akan terlibat kenaikan harga termasuk di Brickfields, Taman Maluri, Cheras, Wangsa Maju dan Setapak, menurut laporan itu.

Datuk Bandar KL Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, langkah menaikan kadar parkir kereta ini diambil sebagai satu-satunya cara untuk mengurangkan kesesakan dalam bandar, menggalakkan berkongsi kereta, dan bukan menyasarkan kepada mengaut keuntungan.

Menurut beliau, kira-kira 50,000 kereta baharu didaftarkan di KL setiap bulan dan pelaksanaan kenaikan kadar caj parkir berkenaan diharap dapat menggalakkan sekurang-kurangnya sejuta pemandu solo, mempertimbangkan kaedah menaiki pengangkutan awam atau berkongsi kereta ke pejabat. – HARAKAHDAILY 18/7/2016

Share on Myspace