Parti baharu: PAS ambil sikap tunggu, lihat

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: PAS mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap cadangan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed mahu menubuh parti baharu bagi berdepan Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Mursyidul Am, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, mana-mana pihak berhak menubuhkan mana-mana parti.

Katanya, rakyat akan menilai tujuan parti itu ditubuh termasuk mengenai perjuangan, matlamat dan dasarnya.

Bercakap selepas majlis Aidilfitri di Jalan Petra Semerak anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

“Ulasan saya ini langsung tidak ada kena mengena soal menyertai atau sebaliknya.

“Kita hanya akan melihat sahaja bagaimana perkembangannya,” katanya.

Baru-baru ini Dr Mahathir mengumumkan akan menubuh parti baharu pada pertemuan dengan pemimpin PAN, DAP termasuk wakil PKR Sabtu lepas.

Bekas perdana menteri itu kali kedua keluar daripada Umno selepas tidak senang dengan pimpinan Najib. Kali pertama keluar Umno ketika parti itu diketuai Tun Abdulllah Ahmad Badawi. – HARAKAHDAILY 18/7/2016

Share on Myspace