Pencemaran ammonia: Utamakan kebajikan rakyat

SHAHARIZUKIRNAIN ABD. KADIR | .

RAKAN Alam ingin melahirkan rasa kecewa di atas insiden pelepasan sisa ammonia sehingga menjejaskan bekalan air bersih kepada 120 ribu pengguna di sekitar Skudai, Kulai-Bukit Batu, Iskandar Puteri dan Pelabuhan Tanjung Pelepas baru-baru ini.

Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi dari sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Oleh itu, Rakan Alam ingin mendesak satu laporan penuh dari Syarikat Air Johor holdings(SAJ), Badan Kawal Selia Air Johor(Bakaj) dan Kerajaan Negeri agar mendedahkan hasil siasatan serta langkah-langkah pencegahan agar insiden yang sama tidak berulang lagi di masa hadapan.

Sementara menanti proses pemulihan sepenuhnya dari pencemaran ini, Rakan Alam berharap satu tindakan drastik telah pun diambil Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan seluruh pengguna air di Negeri itu dilindungi dari ancaman sisa toksik lebih-lebih lagi jika kepekatannya berada ditahap yang tinggi (>0.5ppm – 200ppm).

Kandungan ammonia yang tinggi sehingga melampaui paras 200ppm untuk satu kilogram berat badan manusia boleh menyebabkan mata berair, sakit kerongkong, batuk, koma malah kematian jika didedahkan secara berterusan di tahap yang tertentu.

Malah hidupan akuatik atau biodeversiti habitat juga akan terjejas, seterusnya menganggu bekalan sumber makanan dan sumber ekonomi penduduk yang bergantung hidup dari sungai yang terdedah kepada pencemaran ammonia.

Kita pernah dikejutkan dengan insiden yang sama di Sungai Langat pada tahun 2014 sehingga menjejaskan beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Memandangkan insiden pencemaran sumber air akibat ammonia bukan satu perkara yang baru, Rakan Alam berharap Kerajaan Persekutuan dan Negeri khususnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta agensi-agensi yang berkaitan dapat menilai semula pelan pengurusan air yang sedia ada  memandangkan air adalah nadi kehidupan kepada manusia serta hidupan akuatik lain seperti yang digariskan Dasar Sumber Air Negara (DSAN).

Pada pandangan Rakan Alam, fokus utama, teras sasaran, strategi dan pelan tindakan strategik yang sudah digariskan Dasar Sumber Air Negara (DSAN) pada tahun 2012 perlu dinilai semula untuk memastikan matlamat urus tadbir sumber air Negara betul-betul tercapai.

Pertumbuhan ekonomi dan populasi masyarakat yang semakin meningkat sehingga mendorong peningkatan jumlah permintaan air sekali ganda setiap 20 tahun serta jumlah penghasilan sisa yang semakin meningkat memerlukan semua pihak untuk berada selangkah di hadapan dalam menangani  ancaman terhadap sumber air negara khususnya dari ammonia. – HARAKAHDAILY 18/7/2016

(Penulis adalah Pengerusi NGO Rakan Alam Malaysia)

Share on Myspace