Konsert Selena Gomez cemarkan kemuliaan Syawal

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyatakan bantahan terhadap penganjuran konsert Selena Gomez The Revival Tour yang akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam pada 25 Julai 2016 bersamaan 20 Syawal 1437 ini.

DPPM juga merakamkan rasa kesal dengan kebenaran yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada pihak penganjur konsert ini.

Kemunculan artis kelahiran Amerika yang sinonim dengan penampilan seksi ini adalah mencemarkan kemuliaan bulan Syawal yang sedang diraikan dengan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan oleh umat Islam dan menghidupkan lagi budaya hedonisme dalam kalangan generasi muda di negara ini.

DPPM berharap agar Majlis Agama Islam Selangor (Mais) juga dapat mengeluarkan kenyataan bantahan atau surat rasmi bagi menyekat kehadiran Selena Gomez yang jelas boleh merosakkan aqidah, ibadah dan akhlak umat Islam.

Kerajaan atau pihak berkuasa pula sepatutnya perlu lebih tegas dan cermat sebelum meluluskan sesuatu penganjuran konsert. Kerajaan digesa agar merujuk dan menguatkuasakan Garis Panduan Hiburan yang telah diterbitkan oleh Jakim dan diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun lalu dalam kelulusan sebarang penganjuran konsert.

Adalah menjadi keutamaan dan tanggungjawab DPPM untuk memastikan tidak wujud unsur-unsur yang boleh merosakkan generasi muda Malaysia. Oleh itu, DPPM komited membantah penganjuran konsert seperti ini.

HAFEZ SABRI
Pengerusi Lajnah Dakwah DPPM
18 Julai 2016 | 13 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 18/7/2016

Share on Myspace