Juara Qari Junior disambut orang ramai

SALMAH MAT HUSAIN | .

PENGKALAN CHEPA: Kepulangan juara Qari Junior TV3, Ahmad Naufal Fauzi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang semalam disambut orang ramai.

Antara yang hadir anggota Exco kerajaan negeri Mumtaz Md Nawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan timbalannya Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi.

Turut hadir guru-guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Tiong, Kota Bharu.

Naufal tiba kira-kira jam 6.35 petang semalam ditemani ayahnya yang juga seorang hafiz Ustaz Fauzi Iberahim dan ibunya Wan Mariati Abd Kadir.

Fadhli berkata dicadangkan kerajaan negeri mempertimbang memberi insentif kepada adik Naufal bagi membolehkan beliau melanjutkan pengajian di bidang hafiz selepas tamat pengajian sekolab rendah.

Katanya, kerajaan negeri menubuh Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat di Pulai Chondong pada 1991 bagi melahirkan ramai hafiz di negeri ini.

Katanya, pada masa itu masih belum ada pengajian tahfiz peringkat menengah yang menggabungkan tahfiz dan akademik di negara ini.

“Kami merakamkan tahniah atas kejayaan adik Naufal yang juga merupakan produk Pasti Muaz bin Jabal Kampung Kota, Kota Bharu.

“Semoga kejayaannya menjadi inspirasi kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke Pasti dan pengajian tahfiz,” ujarnya yang juga Pengarah Pasti Negeri.

Fauzi pula mengucapkan terima kasih di atas kehadiran orang ramai menyambut kepulangan anaknya.

“Ini membuatkan kami sekeluarga amat terharu. Terima kasih semua,” ujarnya.

Naufal muncul juara Qari Jr Musim ke-5 TV3 yang disiarkan secara langsung malam semalam.

Kejayaan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai RM10,000 sumbangan TV3, pakej umrah tajaan Almas Beauty & Health dan baucar tunai RM900 tajaan Ana Muslim Sdn Bhd. – HARAKAHDAILY 19/7/2016

Share on Myspace