Kenaikan caj letak kereta, apa alasan kerajaan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor menyifatkan kadar caj letak kereta yang diumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meningkat sehingga 150 peratus adalah tidak munasabah.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin membebankan, menurut Pengerusi Ikatan Selangor Datuk Seri Mohd Badri Abdul Rahman, DBKL  tidak sepatutnya menambah lagi beban hidup rakyat yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur.

"Walaupun ia tidak melibatkan Negeri Selangor, namun kenaikan caj letak kereta itu turut membebankan sebilangan besar rakyat Selangor yang mempunyai urusan di Kuala Lumpur ataupun mereka yang berkerja di ibu kota," katanya.

Ikatan Selangor juga menggesa agar kerajaan tampil memberi alasan mengenai kebenaran kenaikan caj tersebut, sebagai sebuah kerajaan yang memerintah sepatut isu-isu mengenai kenaikan caj perlu diteliti sebaik mungkin dan bukan hanya mengutamakan pihak tertentu.

"Caj yang dikenakan setiap jam bagi pusat bandar yang dinaikkan daripada 80 sen sejam kepada RM2 untuk jam yang pertama dan kadar caj dinaikan kepada RM3 untuk jam kedua dan RM3 untuk jam berikutnya mengikut sesetengah melampaui pendapatan rakyat.

"Ini bermakna, setiap pengguna terpaksa membayar RM32 sehari, kadar caj ini secara langsung mempengaruhi perbelanjaan harian mereka menyebabkan mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan yang lebih setiap bulan," ujarnya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, rakyat telah menanggung beban kenaikan harga barang dan sepatutnya mereka tidak perlu dibebani lagi dengan caj letak kereta yang baru ini.

Justeru, Ikatan Selangor menggesa agar kerajaan campurtangan dan mempertimbangkan semula kelulusan ini, dengan mengambil kira beban hidup rakyat.

Ikatan Selangor juga turut berharap agar Kerajaan Selangor tidak mengikut jejak langkah DBKL untuk turut menaikan kadar caj letak kereta di negeri itu. – HARAKAHDAILY 19/2016

Share on Myspace