CAP tuntut siasat insiden senjata api, penyeludupan

SM MOHAMED IDRIS | .

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dan bimbang oleh berita kejadian mati akibat ditembak dan kini ia menjadi semakin kerap. Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat dan menyarankan langkah untuk mengawal insiden senjata api di negara ini.

Ia menunjukkan bilangan kes kejadian tembak juga meningkat sejak beberapa bulan terakhir ini dan beberapa kes melibatkan mereka yang terkenal iaitu:

- Pada 15 Jun, seorang ahli perniagaan ditembak mati di dalam keretanya selepas Plaza Tol Sungai Rasau, Shah Alam.

- Pada 21 Jun, ahli politik Bill Kayong ditembak pada lehernya ketika berhenti di simpang lampu isyarat, Lutong, di utara bandar Miri.

- Pada 6 Julai, ejen hartanah wanita ditembak mati dan anaknya turut cedera dalam insiden tembak di Taman OUG, Kuala Lumpur.

- Pada 13 Julai, seorang lelaki yang dipengaruhi oleh dadah menembak ibu, adik, anak saudara berusia dua tahun dan teman lelaki ibunya dengan pistol 9mm separuh automatik di Batu Maung, Pulau Pinang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menyatakan 89,771 rakyat Malaysia diberikan lesen untuk senapang hingga kepada stun gun sehingga 31 Disember tahun lalu.

Kebanyakan lesen (63,145) adalah untuk shotgun dan pump-action shotgun (7,731). Daripada baki lesen, 12,917 adalah untuk pistol; 1,789 revolvers; 2,243 senapang dan 1,946 lesen adalah untuk senjata api lain seperti flag-off pistols, blank guns, spear guns, nail guns dan stun guns.

Kita mungkin tidak mengetahui anggaran senjata api haram memandangkan diakui dalam satu laporan lain bahawa ia diseludup melalui 200 “lorong tikus” atau pintu masuk tersembunyi sepanjang sempadan Malaysia yang begitu mudah untuk dibolosi. Malaysia mempunyai sempadan darat dengan Brunei, Indonesia, dan Thailand berjumlah 2,742 kilometer.

Menurut laporan berita 2016, harga senjata api yang diseludup adalah antara RM1,500 dan RM5,000 bergantung kepada model senjata api itu dan ia boleh diperolehi daripada sindiket yang beroperasi di Danok atau Haatyai dan Bangkok. Kebanyakan senjata api itu dipercayai daripada Filipina, Thailand dan Indonesia, diseludup secara berasingan oleh orang yang berbeza dan memasangnya bersama apabila mereka berjaya melintasi sempadan.

Pada masa kini langkah pencegahan penyeludupan senjata api tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas), Akta Dadah Berbahaya (Langkah Pencegahan) dan Kanun Jenayah dilihat tidak melemahkan aktiviti itu.

Kini kelihatan seperti begitu mudah untuk mengupah penembak upahan semudah mendapatkan khidmat tukang paip untuk memperbaiki paip air dan memiliki senjata api kelihatan begitu mudah sepertimana dilihat daripada beberapa laporan yang dibaca daripada media.

Terdapat dakwaan bahawa kira-kira 80% daripada penembak upahan adalah orang asing yang mengenakan bayaran antara RM5,000 dan RM100,000 dan mereka akan kembali ke negara mereka dalam masa beberapa jam selepas melakukan jenayah.

Satu berita baik apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas oleh polis pada 10 Julai 2016 untuk menangani bilangan kes tembak yang semakin meningkat di seluruh negara. Beliau menyatakan dua langkah yang diambil pada masa kini:

- Operasi polis seperti “Ops Cantas” dan mengawasi dengan lebih ketat sempadan dan pintu masuk bagi membantu mengawal aktiviti penyeludupan senjata.

- Agensi penguatkuasaan terutamanya di kawasan pesisir pantai, bekerjasama rapat dengan negara jiran untuk memantau aktiviti penyeludupan. Kerjasama ini turut melibatkan pertukaran maklumat perisikan.

Sementara itu, CAP mengalu-alukan penubuhan Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) pada November 2015. Ia melibatkan 10,000 anggota yang terdiri daripada angkatan tentera, polis, Pasukan Gerakan Am dan Unit Pencegah Penyeludupan. Bagaimanapun, CAP bimbang mengenai di manakah keutamaan Aksem akan diletakkan: dalam mencegah kehilangan tahunan lebih daripada RM2 bilion melalui aktiviti penyeludupan atau penyeludupan senjata api.

Adalah diharapkan juga Aksem mampu untuk mengembalikan semula imej Malaysia selepas The Diplomat (28 Julai 2015) melaporkan: “Bulan lepas (Jun 2015), agensi perisikan polis Malaysia menyatakan dalam laporan yang disusun lebih 10 tahun bahawa amat mengejutkan di mana 80% pegawai penguatkuasa undang-undang di sempadan Malaysia rasuah, dengan ramai daripada mereka terlibat secara langsung dalam penyeludupan dadah, senjata dan manusia.”

Kesimpulannya, CAP berpendapat penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja adalah lebih sesuai berbanding pasukan petugas khas untuk menangani aliran yang membimbangkan yang memerlukan penyelesaian jangka panjang dan tepat. Sementara menanti penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja, kerajaan juga boleh mempertimbangkan dengan serius untuk menghidupkan semula Rukun Tetangga sebagai salah satu langkah dalam berhubung dengan komuniti. - HARAKAHDAILY 19/7/2016

Penulis ialah Presiden CAP.

Share on Myspace