Banjir kilat P.Pinang: Apa punca & penyelesaian

SHAHARIZUKIRNAIN ABD. KADIR | .

KITA pernah dikejutkan dengan insiden yang sama di P.Pinang tahun lalu di Batu Maung, Bayan Lepas, Paya Terubong, Teluk Kumbar, Permatang Damar Laut  serta jalan perbandaran di GeorgeTown.

Rakan Alam ingin melahirkan rasa kecewa atas insiden sama yang berlaku semalam walaupun Kerajaan Negeri telah memaklumkan adanya pelan perancangan untuk mengatasi masalah ini semenjak Oktober 2014 lagi.

Memetik beberapa kenyataan penduduk yang ditemubual, insiden banjir kilat kali ini dilihat agak luar biasa daripada sebelumnya memandangkan air meningkat agak mendadak serta deras alirannya sehingga menenggelamkan 10 buah kenderaan, gerai makanan, dan kediaman.

Malah Lapangan Terbang Antarabangsa P.Pinang juga dilimpahi air khususnya di dewan ketibaan serta bulatan menuju ke lokasi itu.

Kenyataan beberapa mangsa yang terperangkap di dalam kesesakan ke tempat kerja juga mendapati lokasi kesesakan yang paling teruk seolah-olah berpunca daripada beberapa projek pembinaan yang berhampiran.

Kita ingin mendesak Kerajaan Negeri khususnya untuk mengambil tindakan drastik untuk memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan penduduk, pengguna jalan raya, peniaga malah penumpang kapal terbang yang terjejas akibat bencana alam ini dapat dilindungi dan dijaga.

Bantuan makanan, minuman, tempat kediaman sementara, pengangkutan alternatif malah pampasan kewangan perlu juga dipertimbangkan Kerajaan Negeri khususnya buat seluruh mangsa yang terlibat.

Rakan Alam juga ingin mendesak siasatan menyeluruh punca banjir serta laporan terbuka kepada seluruh pihak yang berkepentingan khususnya kepada mangsa yang terlibat.

Memandangkan kesan banjir kilat dilihat semakin teruk dari tahun ke tahun, Rakan Alam ingin melahirkan rasa khuatir dan bimbang terhadap kesan jangka pendek dan jangka panjang dari projek Penang Transportation Master Plan (PTMP) bernilai lebih RM27 Billion yang bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat sehingga tahun 2030, lebih-lebih lagi jika projek itu tidak diurus tadbir atau diselia dengan baik oleh kontraktor yang terlibat.

Malah ancaman daripada penerokaan bukit yang tidak terkawal seperti yang pernah dilaporkan baru-baru ini di Titi Kerawang, Batu Feringgi dan Sungai Ara juga boleh menyumbang kepada masalah banjir kilat ini.  

Bukankah tiga cerun bukit di Sungai Ara itu terletak lebih kurang 5KM sahaja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang?

Mudah-mudahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat melaksanakan ‘Sutainability Development’ atau Pembangunan Mampan dalam setiap projek pembangunan yang dilaksanakan di Negeri itu termasuk mengukuhkan lagi penguatkuasaan demi kebajikan Rakyat di Pulau Pinang.

Rakyat tidak harus dibebani lagi dengan kerosakan dan kesusahan yang bakal timbul daripada ancaman banjir kilat ini lebih-lebih lagi dalam suasana yang penuh mencabar dari cabaran ekonomi serta kos sara hidup tinggi yang terpaksa dilalui Rakyat pada hari ini. – HARAKAHDAILY 19/7/2016

(Penulis adalah Pengerusi Rakan Alam Malaysia. Rakan Alam Malaysia atau Persatuan Kebajikan Alam Sekitar Malaysia adalah pertubuhan berdaftar dengan ROS. Maklumat lanjut atau pertanyaan boleh hubungi beliau di 0132403792)

Share on Myspace