Penghad kelajuan: Bukan sahaja bas, lori juga perlu

HARAKAHDAILY | .

Seperti  mana yang dijangka, setiap kali berlaku kemalangan ngeri, maka menteri berkaitan akan bersuara untuk mengatasi masalah kemalangan. Salah satu cadangan ialah pemasangan penghad kelajuan pada bas ekspres. Ia dikuat kuasa serta merta kepada bas baru. Sebelumnya kita pernah dengar kerajaan mewajibkan kotak hitam kepada kenderaan awam.

Persoalannya, mana pergi peraturan yang mewajibkan kotak hitam. Apakah setiap kali bertukar menteri, maka bertukar pula penggunaan alatnya?

Kita mengharapkan tidak ada unsur-unsur kepentingan bagi syarikat yang menyediakan alat  ini. Keselamatan dan nyawa rakyat mesti diutamakan.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, negara dianggarkan mencatat kerugian sebanyak RM79 bilion ekoran kes kematian akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh 10 tahun dari 2004 hingga 2013. Dianggarkan 18 kemalangan maut sehari di negara ini.

Mereka  yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya akan menyumbang kerugian kepada negara sebanyak RM1.2 juta kerana kehilangan penyumbang pembangunan ekonomi berdasarkan beberapa faktor melibatkan pendidikan, pendapatan, kesihatan dan pembayaran cukai.

Kenapa bas sahaja yang dikenakan, kenapa tidak kenderaan lori diwajibkan sama? Berapa ramai pemandu lori yang tidak berhemah dan menjadi raja jalan raya, tidak kurang menjadi penyumbang kemalangan jalanraya. Memandu ikut nafsu tanpa memikirkan keselamatan orang awam yang tidak berdosa.

JPJ dan PDRM kena buat rondaan yang lebih kerap, memantau kenderaan besar. Jangan hanya sibuk dengan perangkap laju yang tidak bertempat. Letak di tempat yang merbahaya, bukan di dalam kawasan yang diletak papan tanda kelajuan 60 km sejam. Mana ada kenderaan yang naik atas jalan raya 60 km sejam. Jangan sibuk dengan cermin gelap, saiz plat  kenderaan yang bukan penyumbang kepada kemalangan.

Tidak ada makna jika alat penghad laju tidak dipantau secara berkala. Apakah mekanisme untuk kawal kelajuan? Adakah alat ini boleh diketahui pemandu ini memandu laju? Pemandu mungkin tunjuk warak ketika ada sekatan, tetapi mereka akan pecut, terutama pada waktu malam. Siapa mahu kawal mereka? Adakah alat ini akan kawal? Adakah mereka boleh mencabut alat kawalan ini supaya tidak dapat ditangkap oleh pihak berkuasa?

Jika perkara ini tidak boleh dibuat, maka mewajibkan penghad laju akan membazir duit dan mengkaya syarikat pembekal sahaja, namun kemalangan meragut nyawa tetap berlaku.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
14 Syawal 1437 / 19 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 19/7/2016

Share on Myspace