Kontraktor Felda mengadu tidak terima bayaran

HARAKAHDAILY | .

Ramadhan yang lepas, beberapa Tanah Rancangan Felda di Terengganu tidak menerima bayaran hasil tuaian mereka. Sejak minggu lalu saya didatangi beberapa wakil kontraktor yang mengadu mereka juga tidak menerima bayaran kerja seperti biasa sejak empat bulan lalu dan lebih menyedihkan apabila berhadapan dengan hari lebaran baru-baru ini.

Perkembangan terbaharu ini sangat mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku terhadap syarikat konglomerat negara. Ramai di antara mereka tidak berani tampil ke hadapan, untuk menyatakan permasalahan mereka, namun mereka terpaksa juga menemui kami dapat menyuarakan permasalahan ini.

Banyak perkara yang bermain di fikiran warga Felda jika masalah ini berlarutan dan bakal mengundang persepsi tidak baik terhadap pengurusan Felda di bawah pentadbiran Tan Sri Isa Abdul Samad sejak 2011. Kepincangan demi kepincangan terus berlaku saban bulan dan paling menyedihkan apabila melibatkan bayaran kepada peneroka dan kontraktor kecil yang sebahagian besarnya anak-anak peneroka yang mencari peluang usahawan bersama Felda.

Kerja-kerja pengurusan ladang peneroka diuruskan Felda dan Technoplant, manakala kerja-kerja penyelengaraan kilang sawit di bawah FGV. Sebahagian besar mereka yang mempunyai vendor Felda ini bergantung kerja dengan Felda, FGV dan Technoplant. Lebih malang ada di antara kontraktor ini adalah Koperasi Peneroka Felda sendiri.

Sebelum ini 13,589 peneroka dinafikan duit raya mereka, sedangkan peneroka ini masih sebahagian daripada 112, 635 peneroka Felda di Malaysia. Adakah pihak pengurusan diarahkan untuk mengamal langkah berjimat cermat? Jika berjimat pun duit kerja kontraktor dan duit bayaran hasil jualan BTB serta pendahuluan hasil tidak sepatutnya dilengahkan.

Kerajaan harus sedar, PRU13 peneroka Felda seluruh negara telah memberi kemenangan selesa kepada kerajaan. Daripada 54 parlimen yang mempunyai pengundi Felda, 51 daripadanya telah setia menyokong Barisan Nasional. Ini bermakna undi Felda menjadi simpanan tetap kepada Barisan Nasional di Semenanjung.

Jika asas politik diambil kira, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku di kawasan Felda. Hampir seluruh negara ada kedengaran peneroka Felda tidak dibayar duit hasil jualan BTB mereka terutamanya di Pahang.

Walaupun harga saham FGV yang menjunam teruk daripada harga IPO sejak mula diniagakan 2012, peneroka Felda tidak ambil kisah tentang turun naik harga pasaran saham, bagi mereka cukuplah sekadar Felda mampu membayar duit bulanan mereka setelah sebahagian besar menyerahkan urusan pengurusan kebun mereka kepada Technoplant dengan perkiraan tertentu yang dipersetujui. Rata-rata peneroka yang menyerahkan pengurusan kebun ini dibayar sekitar RM1,500 setiap bulan.

PAS tidak melihat isu ini sebagai isu politik, ini isu pendapatan utama mereka. Kami mahukan kebajikan peneroka Felda dan hak pendapatan bulanan mereka tidak terbantut dan terabai. Begitu juga  dengan kontaraktor yang mempunyai kaitan dengan warga Felda, mereka bergantung harap dengan kerja-kerja ini walaupun harga kontrak mereka tidak menjanjikan keuntungan yang tinggi.

PAS mengharapkan pihak Felda dan Kerajaan memberi satu penjelasan yang munasabah menjawab isu bayaran hasil dan bayaran kerja kontraktor yang melingkari mereka sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Kerajaan juga perlu memastikan gejala kelewatan bayaran ini tidak merebak ke 317 buah tanah rancangan Felda seluruh negara, agar kesetiaan warga Felda bersama pihak pengurusan tidak tercalar.

NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
15 Syawal 1437 / 20 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 20/7/2016

Share on Myspace