Bapa dakwa pelajar dibuli cuba dinafi amali PT3

HARAKAHDAILY | .

KOTA BHARU: Masihkah anda ingat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa yang didakwa dibuli 7 April lepas.

Sehingga sekarang masih lagi diberi cuti sakit kerana menghadapi masalah saraf tunjang dan patah tulang rahang.

Cuti sakitnya sejak 7 April lalu sehingga 4 September depan. Dalam tempoh enam bulan beliau tidak dapat datang ke sekolah seperti kawan-kawan lain.

Lebih malang lagi pada Oktober hadapan beliau sepatutnya menduduki peperiksaan Pentafsiran Tingkatan 3 (PT3).

Namun bagaimanapun seharusnya beliau menduduki peperiksaan bagi menentukan masa hadapannya, sedangkan tidak dapat datang ke sekolah dalam tempoh begitu lama akibat terlantar sakit.

Agak malangnya juga biar pun kes buli berlaku di sekolah, ibu  bapanya mendakwa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru serta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) tidak datang bertanya khabar.

Di tengah-tengah kesamaran menduduki PT3, bapanya Dr Zulkeflee Yaacob mendakwa ada guru SMK Pengkalan Chepa datang menemui isterinya meminta menandatangani dokumen Aiman Hazim bahawa tidak mahu menduduki amali PT3.

“Pihak sekolah seolah-olah mahu anak saya tidak menduduki PT3, sedangkan kes yang dihadapinya langsung tidak dipedulikan sehingga sekarang.

“Mereka bukan datang ke rumah sebaliknya ke tempat isteri saya mengajar. Malah cikgu dan kakitangan sekolah tersebut pun terkejut dengan telatah guru sekolah anak saya seperti mahu memaksa ibu Aiman menandatangani dokumen.

“Ini sesuatu yang sangat tidak wajar malah melanggar prosedur pentadbiran. Nampak sangat pihak sekolah mahu berlepas tangan, sedangkan kejadian buli berlaku di kawasan sekolah,” ujarnya.

Pada kejadian 7 April lepas Aiman Hazim, 15 dilapor ditendang dua kali di leher oleh pelajar tingkatan empat SMK Pengkalan Chepa sehingga menyebabkan tidak sedar diri.

Ekoran itu pelajar terbabit dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II selama seminggu.

Dr Zulkeflee seorang pensyarah di sebuah universiti awam berkata, beliau merujuk kes anaknya kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia di Putrajaya selepas tiada penyelesaian di peringkat sekolah dan JPN.  

“Saya berharap mendapat sedikit pembelaan selepas kes buli yang berlaku di sekolah dibiarkan tanpa sebarang tindakan dalam tempoh begitu lama,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/7/2016

Share on Myspace