Selangor tangguh roboh rumah atas tanah rizab

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan menangguhkan operasi pengosongan kawasan dan tindakan perobohan binaan di atas tanah rizab Sungai Kedondong untuk tempoh tiga bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata keputusan itu dibuat selaras bantahan dibangkitkan penduduk.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang mempertimbang sebarang tindakan lanjut ekoran kedudukan kediaman penduduk berdekatan dengan projek tebatan banjir di bawah seliaanya.

“Operasi ditangguhkan selama tiga bulan bagi semakan semula jumlah yang terlibat,” katanya dipetik Selangor Kini.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri optimis mencari jalan terbaik bagi memastikan aspek kebajikan penduduk terus menjadi keutamaan demi keaejahteraan bersama.

Ini termasuklah inisiatif menyediakan ruang kerjasama bersama Exco Perumahan, Datuk Iskandar Abdul Samad untuk sebarang tindakan lanjut.

“Kerajaan negeri melalui Exco, Datuk Iskandar Abdul Samad juga akan meneliti dan mencari jalan terbaik untuk membantu rakyat yang terlibat jika ada perobohan dibuat,” katanya.

Sebelum itu, Zaidy mengadakan lawatan mengejut di kawasan tapak berkenaan ekoran bantahan penduduk susulan tindakan syarikat kontraktor merobohkan kediaman mereka di atas tanah projek tebatan banjir.

Projek tebatan banjir sebelum ini diwujudkan bagi menyelesaikan masalah banjir dan takungan air di seluruh Selangor.

Antara kawasan projek tebatan banjir termasuklah di sekitar luar perbandaran Shah Alam membabitkan kawasan luar bandar di Hulu Selangor, Sabak Bernam, Klang dan Kuala Selangor.

Share on Myspace