Kelantan biayai penerbangan domestik bakal haji

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Lebih 1,500 bakal jemaah haji dari Kelantan bernasib baik memandangkan kos penerbangan domestik Kota Bharu-Kuala Lumpur ditaja kerajaan negeri.

Tahun ini sebanyak RM500,000 lagi disumbang kerajaan Kelantan bagi meringankan bebanan kewangan bakal haji.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Datuk Mohd Nassurudin Daud berkata perbelanjaan itu termasuk kos pengurusan membabitkan Tabung Haji (TH) dan Malaysian Airport Berhad.

Katanya, jemaah haji Kelantan akan mendaftar masuk di Kompleks Islam Panji berdasar jadual ditetapkan TH.

“Kos pengurusan itu ditanggung kerajaan negeri bagi kali kedua selepas pembiayaan dilakukan bermula tahun lepas.

“Apa yang kami lakukan untuk memudahkan bakal haji yang akan menunaikan ibadat itu tahun ini.

“Mereka tidak lagi perlu beratur panjang untuk mendaftar dan dibawa pula ke Kelana Jaya sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah atau Madinah,” ujarnya di sini.

Mulai tahun lepas jemaah haji dari Kelantan mendaftar masuk di Kompleks Islam Panji termasuk urusan pasport tanpa perlu lagi berkumpul di Kelana Jaya. – HARAKAHDAILY 20/7/2016

Share on Myspace