Duit habis tetapi masalah air Kedah tidak selesai

IZWAN ABDUL HALIM | .

PADANG TERAP: Pimpinan Umno-BN yang menerajui Kerajaan Negeri Kedah selama 50 tahun gagal menyelesaikan masalah air di negeri ini biarpun telah menghabiskan dana lebih RM1.7 bilion dan kini memohon pula RM2.8 bilion.

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, pihak Adun pembangkang telah memainkan peranan semak dan imbang dalam isu tersebut.

"Adun kita telah sebut dalam Sidang Dun tiga bulan lepas supaya masalah air ini diselesaikan sebelum Ramadan, tetapi mereka alpa," bidasnya pada Himpunan Isu Air Kedah di Loji Air Kuala Nerang, di sini sebentar tadi.

Tegasnya, PAS Kedah menuntut supaya Kerajaan Persekutuan segera menyediakan geran kepada negeri Kedah bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor yang turut berucap menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia segera menyiasat penggunaan dana berkaitan.

Beliau mengemukakan antara kecurigaan terhadap penggunaan RM26 juta bagi meningkatkan taraf Loji Kuala Nerang itu tetapi tetap tidak memenuhi keperluan semasa penduduk.

Menurutnya kontraktor terlibat dalam pembinaan itu adalah dari kalangan mereka yang ada kaitan dengan pemimpin BN.

"Tiap-tiap kali tuan-tuan lalu di sini, lihat loji ini, tuan-tuan kena ingat ia dibina dari segala kebobrokan yang dilakukan pemimpin BN. Mereka buat projek hanya untuk diri sendiri," luahnya kesal.

Beliau turut menempelak kegagalan BN sejak mengambil alih Kerajaan Negeri Kedah sejak tiga tahun lalu tetap tidak menggerakkan penyelesaian sewajarnya.

Turut berucap Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Padang Terap, Ustaz Mohd Azam Abdul Aziz yang melahirkan kekesalan kerana ketiadaan air semakin kritikal sejak tiga bulan lalu.

Katanya, keadaan itu mendatangkan kesukaran yang banyak terhadap penduduk setempat.

Para peserta himpunan dalam pada itu melaungkan gesaan agar Exco Kerajaan Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim yang memegang portfolio bekalan air agar segera meletakkan jawatan. – HARAKAHDAILY 20/7/2016

Share on Myspace