Muslimat PAS Selangor istiqamah bantah hedonism

HARAKAHDAILY | .

Dewan Muslimat Negeri Selangor Istiqamah Membantah Hiburan Hedonism, Teraju Seni Hiburan Berakhlak

‘Membangun generasi muda dengan pembangunan modal insan berteras model Nabi Muhammad saw, diselami hidangan seni hiburan yang membangun akal dan jiwa subur dengan tasbih dan tahmid memuji Allah swt’.

Ini adalah sebahagian misi dan cita-cita Dewan Muslimat PAS Malaysia dan juga misi dan cita-cita Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.

Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) membantah sekeras-kerasnya kehadiran artis luar negara yang akan datang, Selena Gomez yang nyata mencemar kemuliaan Syawal dan merosakkan asuhan dan didikan Ramadhan yang baru berlalu.

Seolah-olah, selesai sahaja bulan Ramadhan, gejala hiburan melampau dan tanpa batas ini ‘berpuasa’ seketika pada bulan Ramadhan dan kembali melepaskan 'nafas lega' dengan menghidangkan para belia dengan hiburan konsert seperti ini.

DMPNS yakin dengan kewujudan Garis Panduan Hiburan yang telah disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Malaysia (Jakim) untuk meluluskan dan memastikan aktiviti konsert dan perfileman sentiasa di dalam ruang lingkup yang telah ditetapkan, perkara ini seharusnya diambil berat secara serius oleh penganjur.

DMPNS menggesa agar pihak penganjur mengambil cakna tentang adat, budaya dan sensitiviti rakyat Malaysia serta kembali merujuk kepada garis panduan yang ada supaya keberlangsungan didikan dan asuhan Ramadhan dapat dipelihara daripada anasir-anasir yang tidak bermanfaat.

DMPNS komited dalam menyokong usaha-usaha mewujudkan industri hiburan dan seni yang membangun jiwa dan akal penggemar seni, bahkan juga dapat memelihara ruh dan kehormatan para penggiat industri seni.

Saban waktu kini, ramai penggiat seni yang semakin sedar dan berusaha untuk menghasilkan karya yang mendekatkan rakyat kepada Allah dan Rasul dan hal ini adalah sesuatu yang amat dihargai dan disyukuri.

Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor - HARAKAHDAILY 20/7/2016

Share on Myspace