Naik kadar tempat letak kereta DBKL jerut rakyat

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

Baharu dua minggu umat Islam meraikan 1 Syawal dan warga kota mula pulang ke ibu kota untuk meneruskan mencari rezeki, kini dikejutkan dengan kenaikan kadar tempat letak kereta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kenaikan 150% benar-benar menjerut rakyat kota raya dan dilihat tergesa-gesa tanpa mengambil kira faktor tekanan ekonomi yang amat dirasai khususnya rakyat yang mencari punca rezeki dibandar besar ini.

Kenaikan yang tidak bertanggungjawab ini perlu dikaji semula oleh pihak DBKL kerana saban tahun DBKL mencatatkan surplus dalam belanjawan, maka ia tidak masuk akal jika kadar tempat letak kereta ini dinaikkan.

Rata-rata yang menggunakan parkir DBKL adalah warga kota yang berpendapatan rendah dan sederhana kerana parkir yang murah berbanding parkir swasta yang jauh mahal. Jika kenaikan ini berlaku, pastinya golongan ini terjerut dan penyudahnya rakyat sanggup disaman daripada membayar tempat letak kereta yang mahal.

Pihak Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) sememangnya memahami, salah satu sumber DBKL adalah melalui kutipan tempat letak kereta, namun kenaikan tergesa-gesa ini tidak masuk akal dan membebankan rakyat.

Seharusnya DBKL mencari alternatif lain untuk memastikan pengguna tempat letak kereta ini membayar parkir bukannya menaikkan kadar bagi mencari jalan pintas untuk melonjak kadar kutipan.

Oleh yang demikian, DPPWP menggesa pihak DBKL melalui Datuk Bandar yang baru ini untuk mengkaji semula kenaikkan ini agar memberi nafas lega kepada warga kota khususnya selepas pulang berhari raya.

Alternatifnya, DPPWP mencadangkan agar pihak DBKL mempromosikan lebih luas pas bulanan kepada pengguna tempat letak kereta bagi menggalakkan mereka membayar secara bulanan dengan kadar yang lebih berpatutan sebagaimana pengguna LRT dan Bas Rapid.

Kaedah ini lebih mesra pengguna dan secara tidak langsung memastikan kutipan parkir oleh pihak DBKL lebih efisiyen. - HARAKAHDAILY 21/7/2016

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Share on Myspace