Sepakatlah demi kemajuan negeri

AHMAD AMZAD HASHIM | .

Satu lagi yang perlu kita belajar adalah tentang konsep bekerjasama dalam mencapai sesuatu yang baik dan beri manfaat kepada semua.

Saya pernah berbual dengan ramai rakan yang di Putrajaya serta mengeluh kurangnya projek-projek yang dibiayai pusat di Terengganu melainkan projek umum yang biasa seperti sekolah, klinik dan sepertinya. Sehingga berlaku perkara yang menjolok mata projek projek ratusan juta ringgit seperti lapangan terbang, Stadium, memperdalamkan muara sungai yang sepatutnya dibiayai oleh peruntukan wang kerajaan pusat, perlu dibayar menggunakan poket kerajaan negeri sendiri. Ini tidak berlaku di negeri lain.

Kita tiada projek-projek stimulus (pemangkin) khusus yang boleh mencetus peluang-peluang ekonomi dan pekerjaan yang dibiaya pusat yang setara sumbangan negeri Terengganu kepada hasil petroleum dan gas negara sejak sekian lama.

Kita perhatikan sahaja orang bercakap lepas satu demi satu lebuh raya baru di negeri-negeri orang, atau laluan bertingkat (flyover) untuk atasi kesesakan lalulintas di bandar bandar, atau projek mega pelancongan yang besar besar dengan dibiayai peruntukan kementerian-kementerian tertentu di persekutuan.

Kita masih Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang sama, memakan masa 10 tahun. Orang bina LPT1 untuk 174km dengan belanja RM1.3 bilion selama 3 tahun (2001-2004). Kita bina LPT2 sepanjang 184 km menelan belanja RM4.25 bilion selama 10 tahun (2006-2016). Yang mahal dan perlahan lahan bina sepatutnya lebih baik kualitinya, sempurna penyiapannya. Tapi untuk Terengganu, LPT2 sudahlah mahal, kualiti dan penyiapan mengecewakan semua.

Kita ini kalah membeli, kalah memakai. Bukan kalah membeli menang memakai. Jauh sekali menang membeli menang memakai.

Rakyat disuruh membayar tol kadar yang sama seperti yang berkualiti lebih baik iaitu 12 sen setiap kilometer di LPT1.

Negeri orang dibangunkan Universiti Petronas berkaitan industri petroleum dengan biaya pusat. Negeri orang dibangunkan loji-loji dan industri petrokimia, industri berasaskan hidrokarbon, komposit yang berasaskan petroleum, industri plastik dari berteknologi tinggi hingga ke keperluan domestik besen dan baldi. Pembinaan kapal secara moden yang dimulakan penjajah British pada 1953 di Bagan Latihan Rida, Kuala Terengganu, bukan di tempat tempat lain di negeri lain kerana kemahiran khusus orang Terengganu, hingga adanya pekeliling perbendaharaan yang menetapkan semua pembinaan kapal kayu mesti dibina di sana, tidak berterusan. Kini besar besaran dibina di tempat lain, sebahagiannya tidak masuk akal misalnya pembinaan struktur carigali minyak yang berbilion, jauh di pantai barat sedangkan kawasan carigalinya di Laut China Selatan yang Terengganu dan Kelantan, Sabah dan Sarawak. Di Terengganu khabarnya ada kira kira 200 pelantar carigali. Mana yang buatan Terengganu? Terengganu masuk muzium untuk tayangan nostalgia sahaja.

Pelabuhan kita bukan pusat perdagangan.

Tempat orang projek Tanjung Pengerang puluhan bilion, Tanjung Agas berbilion, MRT RM80 bilion, Cybercity Centre RM11 bilion, KLIA Aeropolis RM7 bilion, landasan berkembar berbillion.

Itu semua stimulant ekonomi. Pemangkin dan pencetus usaha ekonomi. Peluang kerja, peluang niaga, pemacu pertumbuhan hartanah, nilai tanah naik berlipat ganda.

Dalam soal merebut peruntukan pusat, rakyat Terengganu kena belajar bagaimana rakyat negeri lain bersatu dan bersungguh. Mereka cukup cermat dengan hasil dan wang negeri. Mereka buru setiap ruang untuk dapatkan peruntukan pusat.

Di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang menjadi pusat tumpuan pelbagai cadangan pemajuan dan projek, dari lebuh raya lebuh raya baru, kompleks halal hub, projek peikanan laut dalam, tuna farming, macam macam jenis dinilai dan diteliti. Beratus ratus proposal.

Yang banyak dari negeri lain. Orang Terengganu malas menulis kertas kerja yang baik. Beratus-ratus juru perunding seluruh negara menjadi rutin lepas satu demi satu cadangan dibuat.

Sifir mudah. Jika dari 10 yang dicadang, 1 diterima, maka dari 100 yang dicadang, 10 boleh diterima. Sudah tentu 10 lebih banyak 10 kali ganda dari 1.

Kita bila dapat 1 yang dilulus, maka berpencak silatlah berebut di kalangan kontraktor dan peniaga yang ada berebut tender. Berebut potongan kek yang kecil.

Mengapa tak berpakat kita dapatkan potongan kek yang lebih besar? Jadikan sepuluh, bukan lagi satu.

Orang-orang politik, jangan jadi pesaing kepada usahawan. Jangan jadi lawan berebut projek, jadilah kawan. Bantu bawa ke atas, perjuangkan supaya dapat dijayakan. Kena ada political will (kesungguhan politik). Jangan jadi tukang bunuh pula semangat usahawan.

Begitu jugalah rakyat. Jadilah masyarakat yang teruja mahu bangunkan negeri, mahu melihat kita maju dan ke hadapan. Jangan terlalu prejudis mencari cari salah idea baik orang sekalipun dari lawan politik. Dalam soal perkara baik, kena bantu membantu. Yang cacat cela ada kurang, carilah jalan tambah baikan.

Tak betul juga jika dalam tanah kita ada besi, bauksit dan lain lain mineral tak mahu diusahakan jana hasil untuk faedah semua. Tapi kena cara betullah. Ada rancangan yang mengambil kira alam sekitarnya, teknologi yang bersih dan mesra alam. Telus pengurusannya dan tidak dimanipulasi untuk keuntungan seorang dua. Semua itu sudah ada garis panduannya.

Tak betul juga mahu pasar payang dibiar begitu rupa ketinggalan dari arus kemajuan, buruk, serba serbi tidak cukup kemudahan atas alasan mengekalkan warisan seni bina arkitektual sejarah berkenaan.  

PAS menentang rancangan pembangunan berkonsep mewah dengan kondominium dan pangsapuri mewah di tapak strategik Pasar Payang yang menjadi nadi dan identiti, pusat orang Melayu berekonomi.

Sebaliknya PAS bekerjasama mengekalkan konsep pasar rakyat,  sehingga menghasilkan rancangan kompleks besar Pasar Payang yang lebih sempurna dan berdaya saing untuk usahawan berdepan saingan dari tumpuan tumpuan pelancongan yang lain yang seumpamanya di seluruh negara. Dan ini dibiayai wang pusat. Jika kita tak rebut, wang ini tetap dibelanja juga di negeri lain yang juga sentiasa meminta.

Perhatikan Pulau Pinang, dalam berlawan, terowong berkos puluhan bilion ringgit mereka pakat pertahan.

Sampai bila kita nak jadi setakat pemerhati kemajuan negeri orang, anak-anak berterusan berhijrah keluar kerana pengangguran tiada peluang.

Lainlah jika cadangan yang terang terang nampak membawa kemusnahan, kerosakan dan haram.

Jika PAS memerintah Terengganupun, takkanlah tak mahu majukan negeri.

Cuma kita dengan wang RM100 juta mungkin boleh buat sepuluh perkara. Mereka dengan RM100 juta, 1 perkara pun belum tentu siap dan boleh diguna. - HARAKAHDAILY 21/7/2016

Share on Myspace