K’jaan disaran segera laksana Skim Insurans Pekerja

OOI HENG | .

MENURUT liputan media semalam, Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan kertas cadangan Skim Insurans Pekerja (Employment Insurance Scheme, EIS) untuk mendapatkan kelulusan di Parlimen pada tahun ini atau awal tahun depan sebelum dijangka mula dilaksanakan tahun depan.

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menyambut baik sebarang usaha kementerian yang dapat membantu golongan pekerja khususnya mereka yang berdepan dengan masalah pengangguran.

Skim Insurans Pekerja merupakan sejenis kebajikan pekerja yang melindungi para penganggur daripada kehilangan pendapatan akibat kehilangan kerja, serta membantu mereka mencari kerja yang baru.

Skim seumpama telahpun dilaksanakan di negara lain termasuk Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Thailand, Vietnam, Korea Selatan, Jepun, Jerman, Itali, Perancis dan Sepanyol.

Bagi tujuan mewujudkan skim ini, suatu tabung dana perlu diwujudkan sebagai sumber elaun, oleh itu setiap pekerja dan majikan mereka harus diwajibkan untuk menyumbang kepada tabung ini dengan mencarum satu peratusan kecil daripada gaji masing-masing, sepertimana yang dilaksanakan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat masa kini.

Biasanya terdapat had tempoh untuk para pekerja menerima elaun pengangguran, ada negara yang hanya memberi 6 bulan, ada yang memberi 12 bulan, ada juga yang memberi 24 bulan. Bergantung kepada syarat-syarat tertentu termasuk syarat ‘pekerja telah mencarum selama satu tempoh seperti 6 bulan’, lazimnya pekerja yang bekerja dan mencarum untuk satu tempoh tetapi kemudian menganggur akan menerima elaun penggangguran sekitar 6 bulan hingga 24 bulan.

Namun, sebagai permulaan pelaksanaan sistem ini, KPRU mencadangkan agar kementerian mengambil kira realiti semasa iaitu terdapat berpuluh-puluh ribu pekerja yang sedang dan akan diberhentikan kerja sebelum pelaksanaan Skim Insurans Pekerja.

Kumpulan ini tidak dapat mencarum dan seterusnya tidak dapat menikmati bantuan skim baru ini.

Untuk membantu golongan yang sedang menganggur buat masa ini, skim baru ini harus terbuka kepada penyertaan mereka dan syarat-syarat penerimaan bantuan harus diketepikan untuk satu tempoh apabila skim baru ini dilaksanakan nanti, supaya golongan ini dihulurkan bantuan dengan kadar segera.  

Baru-baru ini, kita menerima berita bahawa terdapat pekerja yang kehilangan kerja, akibat kemerosotan industri yang tertentu. Malah terdapat juga kilang yang terpaksa ditutup atas faktor-faktor yang tertentu.

Dengan ini, adalah mustahak untuk membantu para penganggur untuk mengharungi kesulitan kehidupan mereka atas masalah pendapatan, serta membantu mereka mencari pekerjaan yang baru untuk meneruskan kehidupan mereka.

Antara berita yang menjadi perbualan harian ialah, penutupan kilang roti High-5 (oleh High-5 Consolidated Bhd, sebelum itu Silver Bird Group Bhd) di Shah Alam yang secara tiba-tiba pada 23 Jun 2016 (dan perlu mengosongkan premisnya pada 3 Julai 2016) akibat perintah mahkamah yang diperolehi oleh AmanahRaya Real Estate Investment Trust (Amanahraya REIT) selaku pemilik hartanah.

Para pekerja High-5 mendakwa bahawa pengupahan mereka dihentikan dengan serta merta dengan hanya notis yang dikeluarkan 24 jam sebelum itu, dan hanya mendapat gaji separuh bulan sebagai pampasan. Namun tuduhan ini dinafikan oleh pihak kilang, bahawa tarikh penamatan kerja ialah 22 Julai 2016, dan separuh lagi daripada gaji mereka akan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Menurut laporan pada 2 Mei 2016, pengarah eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan memberi amaran bahawa sekiranya Perintah Gaji Minimun 2016 (PGM 2016) dikuatkuasa pada 1 Julai 2016, maka 30,000 orang pekerja (terutamanya pada peringkat bawahan) akan diberhentikan kerja.

Hal ini kerana para majikan terpaksa menanggung kos yang tinggi, dan terpaksa memberhentikan sesetengah pekerja sebelum Julai demi menjimat kos operasi dan pampasan kehilangan kerja.

Menurut Shamsuddin, para pekerja yang akan diberhentikan adalah datang daripada sektor seperti minyak dan gas (oil and gas), perbankan dan kewangan (banking and finance), insurans, dan peruncitan.

Beliau turut menyatakan bahawa pada tahun 2015, banyak syarikat besar mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 30% hingga 40% dan menyebabkan seramai 38,000 orang pekerja diberhentikan.

Dilaporkan bahawa pada tahun 2015 dalam sektor perbankan, Standard Chartered Bank telah memberhentikan 11% daripada tenaga kerjanya, CIMB Group Holdings Bhd memberhentikan 3,599 orang kakitangannya yang merupakan 11% daripada tenaga kerjanya, dan RHB Capital Bhd telah memberhentikan 2,700 orang kakitangan iaitu 15% daripada tenaga kerja.

Menurut laporan pada 8 Januari 2016, bagi sektor minyak dan gas pula, sejumlah 10 buah syarikat bercadang untuk memberhentikan 2,700 orang kakitangan. Dikatakan Shell Malaysia ingin memberhentikan 1,300 orang dalam masa 2 tahun, 7 buah lagi syarikat ingin memberhentikan 80 hingga 600 orang kakitangan setiap syarikat, dan 2 buah syarikat yang baki bercadang melaksanakan skim pemberhentian sukarela (VSS).

Selepas itu, menurut laporan pada 21 Januari 2016, Petronas sedang bertimbang untuk memberhentikan 51,000 orang kakitangannya, sebagai sebahagian daripada tindakan untuk mengurangkan modal dan kos operasi sebanyak RM50 bilion dalam 4 tahun.

Menurut laporan pada 6 Julai 2015, JVC terpaksa menutup kilang mereka di Shah Alam sebagai langkah memindah operasi mereka ke Negara Thai. Ini menjejaskan 300 orang pekerja di sini. Antara sebab JVC memindahkan kilang mereka ialah, nilai mata wang Ringgit yang rendah.

Menurut laporan pada 1 Mac 2016, Samsung Electronics Display (M) Sdn Bhd terpaksa menutup kilang pengeluaran televisyen di Seremban pada April 2016, akibat persekitaran perniagaan yang mencabar dan keadaan pasaran yang tidak stabil. Ini menyebabkan 620 orang pekerja (475 warganegara Malaysia dan 145 pekerja asing) terjejas.

Dengan suasana ekonomi sekarang, terutamanya dengan kemerosotan industri minyak dan gas, industri perbankan, industri elektronik dan seumpamanya, adalah sesuatu yang mustahak dan harus didahulukan bahawa kita membantu mereka yang kehilangan kerja akibat keadaan ini.

Sesungguhnya, skim baru ini harus dibentang ke Parlimen pada sesi akan datang dan dilaksanakan tanpa dilengah-lengahkan lagi. – HARAKAHDAILY 21/7/ 2016

Penulis ialah Pengarah eksekutif Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

Share on Myspace