Bela Rohingya: NGO M'sia mahu jumpa Suu Kyi

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi digesa menunjukkan komitmennya untuk memulihkan status etnik minoriti di negara itu khususnya isu penindasan yang berlaku.

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sebagai Pemenang Keamanan Nobel, Suu Kyi kini berkedudukan paling strategik untuk meluncurkan proses reformasi nasional.

"(Iaitu) bagi mewujudkan Myanmar yang lebih harmonis antara pengikut agama di negara itu. Beliau kini menduduki puncak kekuasaan setelah memenangi Pilihan Raya Umum 2015.

"Perubahan drastik rakyat menerima parti beliau NLD dengan majoriti besar sewajarnya dijadikan peluang untuk melakukan anjakan untuk membela golongan minoriti yang ditindas selama ini pada zaman regim junta," ujarnya di Hotel Regency, di sini sebentar tadi.

Beliau menegaskan demikian pada Mesyuarat Mapim bersama NGO Islam yang membentuk Jaringan Badan Bertindak Untuk Keadilan dan Keamanan Asean.

Jaringan tersebut diwujudkan untuk menjadi forum antara Suu Kyi dengan masyarakat sivil bagi mencapai matlamat mengembalikan hak golongan minoriti dan melakukan interaksi yang produktif.

Gabungan NGO itu turut menyatakan kesediaan bertemu pemimpin tersebut yang dijangka melawat Malaysia pada Ogos depan.

"Kami mengharapkan wujud ruang yang lebih luas untuk Myanmar keluar dari kepompong lama dan memulakan era baharu menjadi anggota Asean yang lebih harmonis dengan hak manusia.

"Sebagai tokoh yang dikenali pejuang kebebasan, Suu Kyi sewajarnya lebih mesra untuk mendengar pandangan NGO dan bertindak dengan dengan bijak menangani isu kaum Rohingya tertindas dan menjadi perhatian dunia.

"Hentikan kempen kebencian terhadap Muslim dan Islam yang menjadi punca penindasan ke atas kaum minoriti," gesanya mewakili suara 148 NGO Islam dan kemanusiaan selain turut dihadiri wakil Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Azmi turut membangkitkan situasi Kem IDP yang mengehadkan pergerakan pelarian serta menafikan akses kepada keperluan asas dan bantuan kemanusiaan untuk kaum Rohingya di Arakan.

Tegasnya, ia harus dipulihkan supaya mereka boleh kembali membina semula kehidupan normal.

Beliau turut mengingatkan bahawa suara dunia dari pelbagai agensi antarabangsa dan komuniti sivil yang menuntut Kerajaan Myanmar menghentikan penindasan itu tidak boleh dianggap sebagai campur tangan asing.

"Punca ketegangan di Myanmar hingga mencetuskan ratusan ribu kaum Rohingya menjadi mangsa dan pelarian di beberapa negara.

"Ia mendatangkan beban kepada negara penerima adalah akibat polisi regim Myanmar yang selama ini bersifat brutal ke atas kaum minoriti.

"Pertemuan yang kami inginkan untuk bersemuka denga  beliau bagi membantu merungkai segera isu ini," aju beliau. – HARAKAHDAILY 21/7/2016

Share on Myspace