Ladang Rakyat kurangkan penduduk miskin

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Program Pembangunan Ladang Rakyat yang diwujudkan kerajaan negeri sejak 2006 bagi mengurangkan penduduk miskin kini mencapai matlamatnya.

Sehingga sekarang seramai 4,800 peserta yang dipilih dalam kalangan penduduk miskin mendapat dividen bulanan sebanyak RM200.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Khairi Azmi Yusof berkata ada peserta yang sudah agak kukuh sumber kewangan diganti peserta baharu pula.

Begitu juga peserta yang berusia lebih 60 tahun ditukar kepada peserta lain.

“Kami juga berharap wakil-wakil rakyat dan pihak pengurusan di peringkat Dun mencadangkan semula senarai nama peserta baru Ladang Rakyat.

“Peserta yang sudah keluar dari garis kemiskinan hendaklah diganti dengan peserta baharu bagi membolehkan mereka mendapat manfaat dividen Ladang Rakyat,” katanya di sini.

Menurutnya pada Ramadan lalu Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat membelanjakan hampir RM4 juta untuk membayar dividen bagi tempoh empat bulan kepada 4,800 peserta. - HARAKAHDAILY 21/7/2016

Share on Myspace