Adakah L-cysteine dalam tepung daripada haiwan?

S.M. Mohamed Idris | .

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan agar mengharamkan L-cysteine berasaskan sumber haiwan dan mengenakan pelabelan mandatori bagi bahan ini dalam produk yang dijual di Malaysia.
 
Menurut Jadual 11 Peraturan Makanan 1985, penggunaan L-cysteine dibenarkan dalam tepung gandum dan tepung tinggi protein untuk membuat roti.
 
Makanan yang digemari oleh rakyat Malaysia seperti roti, roti canai, roti jala, puri dan kuih pau yang diperbuat daripada tepung mungkin mengandungi L-cysteine, penambah makanan yang diperolehi daripada sumber manusia  dan haiwan seperti rambut, pelepah dan kuku haiwan.
 
Penggunaan L-cysteine dalam makanan membimbangkan umat Islam dan golongan vegetarian di negara ini. Mengikut undang-undang Syariah, memakan mana-mana bahagian daripada anggota tubuh manusia adalah Haram. Justeru, makanan yang mengandungi L-cysteine amat diragui kerana ia mungkin diperolehi daripada rambut manusia.
 
L-cysteine adalah asid amino yang digunakan dalam industri makanan, farmaseutikal dan kosmetik.
 
Dalam industri makanan, L-cysteine digunakan untuk melembut, menaikkan doh dan menambah perisa makanan. Ia ditambah ke dalam tepung untuk memecahkan gluten dalam tepung, dengan itu ia kurang melekit dan memudahkan kerja menguli tepung.
 
Dalam pembuatan roti, L-cysteine digunakan untuk mengurangkan tempoh pembauran adunan tepung, mencegah kerak piza daripada mengecut selepas diratakan, dan membantu pergerakan doh melalui pelbagai kelengkapan pemprosesan membakar atau pelembut doh.
 
Tambahan pula, L-cysteine digunakan dalam industri makanan untuk melahirkan rasa berdaging dalam produk seperti kiub stok.
 
Sungguhpun L-cysteine ditemui dalam pelbagai jenis makanan, pengguna tidak akan mengetahuinya disebabkan ia tidak tersenarai sebagai bahan ramuan. Ini kerana L-cycteine tidak dianggap sebagai penambah makanan tetapi sebagai bahan yang membantu dalam proses pembuatan makanan, yang tidak perlu dilabel di bawah Akta Makanan.
 
China merupakan pengeluar L-cysteine yang terbesar di dunia; ia mempunyai kedudukan penting dalam pasaran global, yang meraih keuntungan daripada peraturan persekitaran yang longgar dan sumber bahan mentah yang banyak.

Pada 2012, ia menghasilkan kira-kira 7,700 tan L-cysteine dan kira-kira 85% daripadanya dieksport ke Asia Tenggara, AS dan Eropah.
 
Di China, L-cysteine diekstrak daripada rambut manusia dan bulu pelepah ayam. Sebahagian besar rambut yang digunakan untuk menghasilkan L-cysteine diperolehi daripada kedai gunting rambut dan pusat dandanan rambut di China.

Rambut yang dikumpulkan itu dilarutkan ke dalam asid dan L-cysteine kemudian diasingkan menerusi proses bahan kimia. Satu tan rambut mampu menghasilkan 100 kg L-cysteine dan 27 kg asid hidroklorik diperlukan untuk mengekstrak 1 kg rambut.
 
Selain rambut manusia, sumber L-cysteine lain termasuklah bulu pelepah ayam dan itik, tanduk lembu dan keluaran sampingan petroleum. Meskipun bulu pelepah merupakan cara paling mudah untuk menghasilkan L-cysteine, ia menghadapi masalah penghasilan yang rendah, bau yang kurang menyenangkan dan masalah merawat sisa.
 
Menurut satu laporan, sumber utama L-cysteine pada hari ini ialah bulu babi. Dianggarkan bulu babi menjadi sumber 90% bekalan L-cysteine dari China.
 
Sementara itu versi sintetik dan mikrobial L-Cysteine sememangnya ada namun cuma 10% daripada jumlah keseluruhan pasaran, kerana penghasilannya lebih mahal berbanding L-cysteine daripada sumber rambut atau bulu pelepah haiwan.
 
Memandangkan pengambilan L-cysteine adalah haram kepada umat Islam dan golongan vegetarian, CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengharamkan L-cysteine berasaskan sumber haiwan dan mengenakan pelabelan mandatori bahan ini dalam makanan, produk farmaseutikal dan kosmetik. – HARAKAHDAILY 21/7/2016

Share on Myspace