Siasat 1MDB: Sokong tubuh Suruhanjaya Diraja

HARAKAHDAILY | .

Rentetan daripada pembongkaran terkini skandal kewangan 1MDB di Amerika Syarikat kelmarin, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dengan tegas meminta satu Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi membolehkan kes ini diteliti dengan adil dan telus.

Imej Malaysia dalam keadaan kritikal setelah kira-kira tujuh buah negara luar sedang menjalankan siasatan melibatkan 1MDB dengan dakwaan penggubahan wang haram, ‘mismanagement funds’ dan ‘funds fraudelent’. Dakwaan ini sangat berat dan Suruhanjaya Diraja mesti segera dibentuk untuk menyelesaikan kes kontroversi ini.

Singapura, Switzerland, United Kingdom, Luxembourg dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) adalah negara yang sedang menjalankan siasatan skandal 1MDB. Hampir seluruh negara yang menyiasat skandal kewangan ini mendapati berlaku ‘embezzlement’ dan ‘money laundering’ antara institusi kewangan dan 1MDB.

Oleh sebab itu, tanpa prejudis, DPPM juga turut menggesa laporan audit 1MDB dideklasifikasikan daripada Akta Rahsia Rasmi dan dijadikan dokumen awam bagi membolehkan kes 1MDB terus disiasat dengan lancar. Suruhanjaya Diraja harus menerajui siasatan ini hingga selesai dan hilang keraguan.

Secara prinsipnya, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. DPPM tidak mengambil sikap ‘judgemental’ sebaliknya menggesa semua pihak tampil memberikan kerjasama agar perjuangan kebenaran dapat ditegakkan.

Kes 1MDB bukan hanya sekadar operasi sebuah syarikat kerajaan, tetapi ia melibatkan maruah dan integriti negara. Malaysia mesti bersih daripada korupsi, rasuah, jenayah dan kezaliman terhadap rakyat. Imej Malaysia mesti dipulihkan dan semua yang boleh disabitkan dakwaan perlu dihadapkan ke muka pengadilan!

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
21 Julai 2016 | 16 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 21/7/2016

Share on Myspace