Ada pertemuan dakwah dengan Umno

HARAKAHDAILY | .

PRESIDEN PAS SAHKAN ADA PERTEMUAN DAKWAH DENGAN UMNO (21 JULAI 2008)

PADA hari ini dalam tahun 2008, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengesahkan bahawa telah berlaku pertemuan di antara PAS dan Umno selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008. Pengakuan yang dibuat oleh Presiden PAS ini adalah ekoran satu pendedahan yang dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Umno telah tiga kali bertemu dengan PAS kerana membincangkan isu agama dan bangsa Melayu tanpa disertai oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pendedahan ini telah menggemparkan politik negara kerana ketika ini PAS bersama PKR dan DAP telah membentuk Pakatan Rakyat sejak 1 April 2008.

Isu pertemuan PAS-Umno ini timbul ekoran pendedahan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu ketika memberi respons terhadap satu temuramah Presiden PAS yang disiarkan oleh Harakah, edisi 10 Julai 2008. Dalam kenyataannya, Presiden PAS menyatakan keperluan PAS untuk mengutuskan wakil bertemu Umno bagi menyampaikan mesej Islam seperti mana "Baginda Nabi SAW menghantar surat kepada raja-raja." Beliau menjelaskan bahawa tidak salah bagi PAS berunding dengan Umno sebagai satu usaha dakwah, seperti mana Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu wakil rakyat BN untuk menubuhkan Kerajaan 16 September. "Bukan dia (Anwar) sahaja (yang berhak), kita pun berhak juga mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan. Kalau Keadilan (PKR) sahaja boleh jumpa Umno macam mana?" kata Tuan Guru Haji Abdul Hadi.

Setelah pembangkang berjaya memgalahkan BN di lima buah negeri, pada 9 Mac 2008, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah melantik beberapa pemimpin untuk merundingkan pembentukan kerajaan di negeri-negeri tersebut. Presiden PAS ditugaskan untuk Kedah, Dato' Husam Musa, Naib Presiden PAS (Perak), Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS (Pulau Pinang), serta Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan Dato' Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS (Selangor). Ketika proses perundingan ini berlaku, pada 9 Mac 2008, PAS menerima jemputan Presiden Umno untuk bertemu berkait dengan kes Selangor. PAS telah menghantar Ustaz Nasharudin Mat Isa, Dato' Mustafa Ali dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Abdul Khalid Samad bertemu dengan Presiden Umno dalam pertemuan di rumah beliau pada 10 Mac 2008. Menurut Abdul Khalid Samad, Umno telah membuat beberapa tawaran terutama di Selangor dan tiada sebarang perunding untuk membentuk kerajaan campuran dalam perjumpaan tersebut. "Yang pasti tidak ada langsung dalam perbincangan sesama pimpinan PAS, pergi berjumpa dengan Umno untuk bekerjasama dengan mereka," kata Abdul Khalid Samad pada 21 Julai 2008 menjelaskan tentang pertemuan yang disertai beliau dengan Umno itu.

Apabila BN tewas di lima buah negeri, pemimpin-pemimpin pembangkang telah mencapai persetujuan membentuk kerajaan di Perak dan Selangor sehingga Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR) dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pada 13 Mac 2008, diikuti oleh Ir Muhammad Nizar Jamaluddin (PAS) sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac 2008. Hasilnya, Pakatan Rakyat dibentuk pada 1 April 2008. Majlis Syura Ulamak PAS pula pada 24 April 2008 memutuskan untuk menolak tawaran Pak Lah, sebaliknya melantik Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Dato' Mustafa Ali untuk mewakili PAS jika ada sebarangan perundingan untuk berdakwah kepada Umno, tetapi bukan untuk membentuk kerajaan.

Menjelaskan kekeliruan akibat pendedahan Pak Lah pada 20 Julai 2008 tentang pertemuan PAS-Umno ini, Presiden PAS pada 21 Julai 2008 menyatakan bahawa perbincangan itu adalah berkaitan isu umat Islam dan bangsa Melayu dan ia telah dilaporkan kepada Majlis Syura Ulamak PAS dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Menurut kenyataan beliau ini, Majlis Syura Ulamak PAS telah bersetuju supaya PAS meningkat usaha menyatupadukan umat Islam dan rakyat atas nama Islam. PAS juga mengajak Umno bermuzakarah. Langkah-langkah yang diambil oleh PAS untuk berunding menyampaikan dakwah Islam kepada Umno adalah berdasarkan arahan Majlis Syura Ulamak PAS. Namun begitu, beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh PAS ingin bergabung dengan Umno.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
21 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 21/7/2016

Share on Myspace