Saranan sempena pelancaran Simpanan Shariah KWSP

NASRUDIN HASSAN | .

UCAPAN tahniah kepada pihak KWSP di atas pengenalan skim Simpanan Shariah dengan dana permulaan berjumlah RM100 bilion iaitu kira-kira 15% daripada jumlah aset pelaburannya sehingga Mac lalu yang bernilai RM681.71 bilion.

Pada masa ini, pelaburan KWSP dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia pinjaman korporat, Instrumen Pasaran Wang serta pelaburan ekuiti sebahagian besarnya adalah membabitkan faedah tetap yang merupakan riba’ dan tidak patuh syariah.

Oleh itu, kesungguhan mengusahakan jalan keluar bagi menjamin pelaburan yang dibuat – khususnya daripada hasil simpanan pencarum yang beragama Islam – adalah patuh syariah ini amat wajar dipuji dan dicontohi oleh semua pihak yang menguruskan dana simpanan dan pelaburan yang melibatkan orang-orang Islam.

Saya sarankan agar perkara-perkara berikut diberikan perhatian dan dilaksanakan oleh KWSP:

i.Menukar secara automatik dan wajib skim pencarum beragama Islam kepada skim Simpanan Shariah; bukannya secara pilihan seperti yang boleh dibuat pendaftarannya bermula Ogos ini.

ii.Memberikan kepada Jawatankuasa Penasihat KWSP autoriti yang efektif dalam intervensi urusan yang berkaitan dengan maslahah pencarum yang beragama Islam; bukan hanya bertanggungjawab menasihati sahaja.

iii.Mengeluarkan zakat bagi pihak pencarum dan juga zakat perniagaan KWSP.

Wajar ditegaskan bahawa eleman patuh syariah dalam semua aspek yang membabitkan urusan umat Islam adalah perkara yang amat mustahak untuk diberikan perhatian oleh semua pihak kerana ia adalah jaminan turunnya keberkatan daripada Allah SWT. – HARAKAHDAILY 21/7/2016

Share on Myspace