PAS ucap selamat menyambut Hari Sarawak

HARAKAHDAILY | .

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Sarawak yang telah digazetkan pada 22 Julai setiap tahun oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Tarikh 22 Julai juga telah diisytiharkan sebagai cuti umum di Bumi Kenyalang.

PAS Sarawak konsisten dan komited dalam  mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia. PAS Sarawak juga menyokong agar hak-hak istimewa Sarawak yang terjamin dalam perjanjian dan dipersetujui sebagaimana termaktub dalam perlembagaan terus dipelihara.

Sejarah menyaksikan bahawa Sarawak pernah berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei Darussalam dari tahun 1599 hingga 1842 sebelum diserahkan kepada pentadbiran Rajah Brooke dari 1842 hingga 1941.

Sarawak seterusnya sempat diperintah oleh Jepun dari 1941 hingga 1945 sebelum berada di bawah penjajahan Kolonial British dari 1946 hingga 22 Julai 1963.

Pada tarikh 22 Julai 1963, British telah menyerahkan pentadbiran kepada anak Sarawak dan tarikh inilah diambil sebagai Hari Sarawak yang disambut pada hari ini. Seterusnya pada 16 September 1963, Sarawak telah bergabung bersama Persekutuan Tanah Melayu, Singapura (menarik diri pada 1965) dan Borneo Utara (Sabah) untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

PAS Sarawak juga menyeru dan menegaskan agar kestabilan, kemakmuran dan kehidupan aman damai masyarakat majmuk di Sarawak akan dapat kekal dipelihara.

Kepelbagaian agama, bangsa dan rumpun etnik sewajarnya menjadikan rakyat Sarawak terus saling menghormati, saling menghargai dan saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Selari dengan Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Malaysia yang menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan, maka PAS menegaskan bahawa perkara ini perlu terus dihormati dan menjadi dasar dan pegangan bersama dalam kehidupan harmoni di Sarawak.

PAS juga ingin mengambil kesempatan menyeru agar Kerajaan Sarawak akan terus mentadbir negeri ini dengan baik dan harus berganding bahu, bergerak bersama penuh dedikasi bersama seluruh lapisan rakyat termasuk parti-parti politik pembangkang.

Ini penting untuk memastikan Sarawak membangun dengan pesat, maju dan progresif seterusnya mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi yang diimpikan dan dicita-citakan.

PAS Sarawak sekali lagi mengucapkan Selamat Menyambut Hari Sarawak 2016 dan bersama kita hayati lirik lagu rasmi kebesaran Sarawak 'Ibu Pertiwiku' berikut:

Sarawak Tanah Airku
Negeri Ku Tanah Air Ku Sarawak
Engkaulah Tanah Pusaka Ku
Tanah Tumpah Darah Ku
Ibu Pertiwi Ku

Rakyat Hidup Mesra dan Bahagia
Damai Muhibbah Sentiasa
Bersatu Berusaha Berbakti
Untuk Sarawak Ku Cintai

Sarawak Dalam Malaysia
Aman Makmur Rahmat Tuhan Maha Esa
Kekallah Sarawak Bertuah
Teras Perjuangan Rakyat
Berjaya Berdaulat.

MUKHTAR SUHAILI
(AJK PAS Pusat - mewakili Sarawak)

HJ JOFRI JARAIEE
(Pesuruhjaya PAS Sarawak)

22 Julai 2016 | 17 Syawal 1437H – HARAKAHDAILY 22/7/2016

Share on Myspace