CAP gesa dedah kejadian banjir kilat di Pulau Pinang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang mendedahkan kepada rakyat negeri itu punca kejadian banjir kilat dan banjir lumpur yang melanda kawasan Teluk Bahang, baru-baru ini.

"Kejadian yang serius berlaku di kawasan tersebut bukan saja menimbulkan kebimbangan penduduk-penduduk yang terlibat, malah CAP amat kesal kerana masalah yang sudah lama berlarutan itu hingga sekarang masih gagal ditangani dengan berkesan," ujar Presiden CAP, SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya CAP berharap kerajaan Pulau Pinang menjalankan siasatan dan kajian secara menyeluruh punca sebenar kejadian banjir kilat dan banjir lumpur yang melanda Teluk Bahang dan beberapa kawasan lain dua hari yang lalu.

Menurutnya, sebelum ini CAP telah banyak menyuarakan kebimbangan dan bantahan tentang kegiatan penerokaan hutan dan pelaksanaan projek pembangunan di tanah tinggi yang berlaku secara berleluasa di negeri itu kerana boleh menjejaskan alam sekitar dan mencetuskan banjir kilat.

Namun, kata beliau apa yang CAP lihat banyak kawasan tanah tinggi dan bukit punah ranah diteroka untuk projek pembangunan dan alam sekitar negeri itu semakin hari semakin teruk tercemar.

"Bukit bukau ditarah dan digondol menyebabkan berlakunya tanah runtuh, hakisan serta mendapan lumpur yang serius hingga menjejaskan sistem pengairan, perkampungan penduduk dan kawasan pantai yang menjadi tempat para nelayan mencari rezeki," ujarnya lagi.

Selain Teluk Bahang, ujarnya kawasan berisiko tinggi boleh mencetuskan ancaman banjir kilat dan banjir lumpur yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ialah Permatang Damar Laut, Batu Maung, Sungai Batu, Bayan Lepas, Teluk Kumbar dan Sungai Ara.

Justeru, kata beliau CAP meminta kerajaan Pulau Pinang mengkaji semula projek pembangunan yang sedang dilaksanakan agar ia tidak mencetuskan ancaman banjir kilat dan banjir lumpur pada masa akan datang.

"Sebarang projek pembangunan di tanah tinggi yang boleh memusnahkan hutan, menjejaskan kawasan tanah air, mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan perlu diharamkan pelaksanaannya oleh kerajaan negeri ini," katanya. - HARAKAHDAILY 22/7/2016

Share on Myspace